KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
18 September 2017 | 27 Zulhijjah 1438
“SYABAS! LANGKAH DBKL BERINSPIRASI DAN BERANI”
1. Langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan penganjuran Better Beer Festival 2017 (BBF17) menunjukkan betapa sesuatu kemungkaran boleh ditangani dengan menghalangnya melalui kuasa pentadbiran serta peruntukan perundangan yang ada. Pihak kerajaan di semua peringkat seharusnya tidak merasa sangsi untuk memastikan penganjuran seumpama ini dicegah di mana ia berpotensi menghadirkan banyak kesan negatif berbanding kebaikan.
2. Walaupun pasti berdepan kritikan pihak-pihak tertentu yang ghairah hatta dengan ‘dalil-dalil’ kebebasan dan hak sekalipun, tindakan berani DBKL itu adalah titik penting ke hadapan. Ia akan menjadi inspirasi dan kekuatan kepada pihak berkuasa lain untuk tegas dengan pendirian sama, serta menjadi peringatan kepada penganjuran seumpama sewenang-wenangnya dari diadakan. Hanya mereka yang mahu mencabar, melawan arus dan degil sahaja akan cuba untuk tetap menganjurkannya.
3. Sebenarnya inilah keputusan paling berhemah dan bijaksana kerana kebebasan serta keizinan untuk membuat, mengedar, menjual, membeli dan meminumnya telah pun sedia termaktub. Tetapi untuk menjadikannya keraian dengan berfestival sedemikian tiada keperluan pun, apatah lagi sedia dimaklumi bahawa ia sering mencambahkan kesan sampingan yang buruk. Kita mencegah untuk menyelamat dan memelihara kepentingan semua dari iktibar-iktibar sedia ada disekeliling kita.
4. Seluruh masyarakat yang matang pasti memahaminya dan menyokong sikap telah diambil DBKL ini di mana seharusnya juga ia diberikan pujian. Bagi kami, DBKL telah menggerakkan peranan ‘nahi munkar’ yang diperintahkan Allah dalam mencapai tujuan syariat-Nya. Oleh itu kami yakin dan percaya, Allah S.W.T pasti melimpahkan keberkatan dan pertolongan-Nya dalam menguruskan perkara seperti ini. Tahniah dan syabas buat DBKL dan didoakan agar kekal istiqamah.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”
USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia