Home Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Malaysia

Sampai Masanya Mahathirisme Disimpan Dalam Stor Politik

378
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
21 September 2017 | 30 Zulhijjah 1438

“SAMPAI MASANYA MAHATHIRISME DISIMPAN DALAM STOR POLITIK”

1.    PAS mutakhir ini menjadi sasaran serangan bertali arus oleh Pengerusi Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad yang melantunkan ratapan, simpati dan rajuk politiknya bagi meraih sokongan murahan. Beliau jelas ketandusan modal dengan terus mengulang dan memuntahkan toksik fitnah dan jelek untuk mendatangkan imej buruk kepada PAS. Lalu PAS dikait dan dihadapkan dengan pelbagai tuduhan dari perbuatannya sendiri.

2.    Saat berkuasa hingga kini, PAS terus dihentamnya sebagai pemecah belah dan mengkafirkan beliau. Sedangkan beliau sendiri berpecah dari parti diperjuangkannya dahulu yakni Umno dan kini berserabut pula dalam PH. Sedangkan, kesatuan warga terbesar negara ini iaitu Islam-Melayu tidak pernah pun berlaku sepanjang beliau memegang tampuk pemerintahan negara selaku Perdana Menteri paling lama.

3.    Malah, terlalu banyak kontroversi ditimbulkan beliau yang memecah belah dan menimbulkan kekeliruan besar kepada umat ini. Pada 14 Julai 1991 beliau menyatakan bahawa hukum rejam kepada penzina adalah primitive. Begitu juga dalam perjumpaan bersama Ketua-ketua Bahagian Umno di Johor pada 30 April 1992, beliau sekali lagi mempertikaikan hukum hudud.

4.    Dalam majlis itu beliau menyebut bahawa hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, akan menyebabkan ramai rakyat beragama Islam yang mati dan kudung tangan di mana ia sangat memalukan umat Islam kerana orang bukan Islam akan sempurna sifatnya dan boleh meneruskan kerja. Begitu juga dalam tahun 1994, Mahathir telah ‘berfatwa’ bahawa al-Quran perlu ditafsirkan semula.

5.    Kuatnya permusuhan dan dendam beliau kepada PAS, hinggakan beliau juga cuba untuk menghapuskan penggunaan perkataan Islam kepada parti politik dan pertubuhan NGO. Namun ideanya itu tersanggah oleh Mesyuarat Majlis Raja-raja membuat pendirian sebaliknya. Malah, banyak rekod lain di mana beliau turut menyindir Rasulullah S.A.W, keluarga Baginda serta para Sahabat R.A.

6.    Mahathir juga pernah mempergunakan Astora Jabat, seorang rakyat Thailand untuk berlakon sebagai ulama dan menyerang PAS dengan membawa hujah-hujah songsang yang mengelirukan umat Islam. Astora Jabat secara tidak langsung menjadi penasihat agama Mahathir yang beliau lebih percayai berbanding mufti dan ulama berkaliber dalam pentadbiran JAKIM ketika itu di mana mereka sering disindirnya.

7.    Pada tahun 2001, juga semasa pemerintahan Mahathir, telah diadakan debat olok-olok di mana beberapa orang diupah untuk menjadi kumpulan Ulama PAS melawan kumpulan Ulama Umno. Mahathir mahu mereka membuat simulasi debat dengan harapan dapat bersedia menghadapi hujah ulama dari PAS. Malangnya, simulasi tersebut ternyata memihak kepada kumpulan lakonan Ulama PAS.

8.    Pada tahun 2003 pula, Mahathir dengan angkuhnya menarik bantuan perkapita bagi Sekolah Agama Rakyat di seluruh negara. Malah, institusi itu sering diremeh dan pernah dituduhnya sebagai tempat melahirkan kegiatan radikal. Semua itu hanyalah kerana permusuhan dan bencinya beliau kepada PAS yang menjadi saingan politik beliau dan tidak berjaya ditundukkan di bawah kekuasaannya.

9.    Hakikatnya, beliau hanya cemerlang menyatukan umat dalam materialisma dan liberalisma di mana di zaman beliaulah kumpulan-kumpulan penentang agenda Islam dan sesat berkembang biak. Mereka bukan sahaja menentang setiap tonggak, institusi dan para peranan agama, malah meluaskan kekeliruan dan kefahaman songsang terhadap al-Quran dan al-Hadis.

10.  Bahkan, kumpulan ini jugalah mempromosikan gaya hidup bebas seperti golongan LGBT, selain bersekutu dengan pihak bukan Islam yang sedia memperakui mereka. Sebab itulah Mahathir begitu mudah diterima oleh DAP kerana mereka mempunyai akidah perjuangan yang sama iaitu menolak hukum Islam dan mencabar segala berkaitan dengan kepentingan umat Islam.

11.  Mahathir juga tidak pernah mengaku dan meminta maaf akan fitnah liwat beliau lontarkan semasa mengusir Anwar dari Umno. Sedangkan rakyat mahu tahu kebenaran terhadap perkara itu yang hanya boleh dijelaskan beliau di mana insiden tersebut juga antara penyebab ramai umat Islam berpecah dan bergaduh sesama sendiri kerana menyokong mereka.

12.  Dalam permainan politik sedang diadu dombakannya kini, rakyat digesa menilai secara bijak dan matang perbezaan antara sumbangan dan jasa beliau dalam membangunkan negara dengan kezaliman serta penyelewengan kleptokrasinya terhadap Negara. Ketika beliau mahu dijulang kerana vokal menentang Zionis-Israel, jangan lupa lumuran darah mangsa Kampung Memali ditangannya.

13.  Ketika sama, nilailah sikap pimpinan PH yang begitu kuat menentangnya dahulu dan menjadikan seluruh kejahatan Mahathir sebagai sebab pakatan diwujudkan mereka, namun kini begitu apologetik dan mesra. Paling dikesali, ‘diampuni’ Mahathir dalam semua perkara yang tidak menjadi hak kepada mereka. Sedangkan semua dilakukan dahulu menuntut pengadilan ke atas negara dan rakyat, bukannya milik PH.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia