Home Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Malaysia

KENYATAAN MEDIA DPPM | “Mohon Titah YDPA Tangani Pertikaian Terhadap Islam”

2721
SHARE


KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
14 November 2017 | 25 Safar 1439

“MOHON TITAH YDPA TANGANI PERTIKAIAN TERHADAP ISLAM”

1. Campur tangan dan pertikaian oleh pihak-pihak tertentu terhadap pengamalan, ajaran dan nilai Islam di negara ini menuntut titah nasihat Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Majlis Raja-raja Melayu untuk menghormatinya. Ia penting agar pihak terbabit tidak sewenang-wenangnya bersikap demikian yang biadab dan menyinggungkan.

2. Malah titah nasihat itu perlu untuk menyedarkan kembali pihak-pihak berkenaan agar tidak melangkaui batasan dan melampau serta celupar terhadap hak pihak lain. Lebih-lebih lagi berkait kepercayaan agama, sensitiviti perkauman dan pegangan adat serta keharmonian budaya yang pelbagai dalam negara berdaulat ini.

3. Kerana, Islam adalah tonggak tertinggi negara sebagai Agama Persekutuan yang dinaungi YDPA dan Raja-raja Melayu selaku ketua agama bagi Malaysia dan semua negeri. Sekali gus menjurus kepada usaha mengawal sikap yang boleh menggugat dan menjejaskan ketenteraman juga perpaduan rakyat dalam negara.

4. Jika dibiarkan, ia hanya terus mengundang tindakan mengambil kesempatan secara cabul dan angkuh yang membibitkan pula rasa kurang senang dan kemungkinan tindak balas radikal. Terbaru apabila berbangkit larangan pemakaian tudung bagi pekerja hotel di perjawatan utama yang dijadikan alasan kerana mematuhi polisi antarabangsa.

5. Bulan lalu, premis dobi ‘untuk Muslim sahaja’ dipolemikkan, sedangkan pada kebiasaan perniagaan wujud pengenalan logo halal serta pengasingan barangan halal dan tidak halal di pasar raya. Lalu terdapat pihak menjadi lebih ekstrem hingga menganjurkan pesta arak dengan mengaitkan Islam sebagai kongkongan.

6. Malangnya, kebebasan itu digunakan untuk menyindir dan memperlekehkan Islam. Begitu juga tindakan pihak tertentu menyangkal permintaan untuk Malaysia Airline System (MAS) tidak menghidang arak dalam pesawat. Tidak pula ia diselaraskan dengan polisi pengambilan alkohol pada situasi yang lain.

8. Sedangkan sebelum ini kebebasan diberi Kementerian Pengangkutan untuk pemakaian tudung bagi pramugari. Bermakna ia boleh dilaksanakan secara jayanya. Tetapi sering dicampakkan halangan secara adu domba terutama golongan pejuang liberal yang sebenarnya bertujuan serong terhadap Islam.

9. Maka kami percaya, Tuanku YDPA dan Raja-raja Melayu semuanya dapat menitahkan nasihat serta ketegasan terhadap isu seperti ini agar mendapat perhatian kerajaan untuk dilaksanakan tindakan sewajarnya. Seterusnya membentuk keakuran pihak berkaitan agar menghayati teras-teras utama negara, tanpa perlu mencalarkannya.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia