KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
17 Julai 2017 | 23 Syawwal 1438
“HIMPUNAN AMAN BANTAH KEANGKUHAN REJIM ISRAEL”
1. Rejim haram Zionis Israel berterusan menunjukkan keangkuhan mereka dengan menzahirkan persengketaan terhadap Islam dan umatnya. Tindakan terbaharu mengharamkan umat Islam Palestin berhimpun menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Aqsa jelas langkah provokatif.
2. Ketika mereka menjadi dalang menggerakkan kempen Islamofobia dan menuduh Islam dengan ekstremisme, mereka pula menyekat hak asasi umat Islam untuk menunaikan ibadah. Hakikatnya, inilah tindakan melampau dilakukan oleh rejim terorisme yang sepatutnya dikecam warga dunia.
3. Mereka kini sedang mencemar dan mencabul kesucian rumah ibadah umat Islam secara kekerasan menggunakan polis dan tentera. Terdahulu sebelumnya sudah hampir 70 tahun mereka mengusir, merampas, membunuh, menindas, menzalimi serta melakukan pelbagai kejahatan di tanah Palestin.
4. Bukan sahaja bumi anbiya’ itu tidak pernah menikmati keamanan, malah memangsa dan memperlakukan umat Islam sewenang-wenangnya tanpa dunia adil membela hak kemanusiaan warga Palestin. Kini, mereka semakin rakus dan sombong menjadikan rumah Allah itu sebagai tawanan.
5. Kebisuan dunia terhadap perkara ini sememangnya telah dijangka, hatta jika mereka mahu tunduk kepada agenda Zionis seluruhnya pun tidaklah kami gentar. Sehubungan itu ayuh umat Islam Malaysia, khususnya anak muda, kita berhimpun menunjukkan suara dan ikrar kita.
6. Kita akan berhimpun secara aman di Dataran Rehal, Masjid Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan selepas Solat Jumaat, 21 Julai ini sebagai menyatakan perasaan kita kepada dunia. Kita memberi amaran kepada Zionis Israel, sama ada bebaskan Masjid al-Aqsa, atau mereka sedia menanti kebangkitan umat Islam.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”
USTAZ MUHAMMAD KHALIL BIN ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia