Home Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Malaysia

KENYATAAN MEDIA DPPM | Dppm Mengecam Kehadiran Delegasi ‘Haram’ Israel ke Malaysia

4126
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA MENGECAM KEHADIRAN DELEGASI ENTITI HARAM ISRAEL KE MALAYSIA
1. DPPM memandang serius kehadiran delegasi dari entiti haram Israel ke Malaysia semasa berlangsungnya World Urban Forum (WUF) di Kuala Lumpur pada 7-13 Februari 2018 yang lalu. Delegasi yang diketuai oleh Diplomat Israel David Roet, dianggotai sama oleh salah seorang bekas menteri Israel, Ophir Pines-Paz, dan professor dari Hebrew University of Jerusalem, Eran Razin. Mereka telah dibenarkan masuk oleh Kerajaan Malaysia dengan menggunakan pasport entiti haram Israel.
2. Berdasarkan laporan beberapa akhbar Israel, kehadiran diplomat Israel ke Malaysia seperti ini merupakan yang pertama seumpamanya semenjak tahun 1965. Bahkan mereka berbangga dengan dakwaan betapa perkara ini menunjukkan kejayaan Israel dalam bidang diplomasi sehingga berjaya menembusi Malaysia, dan berpeluang bertemu dengan pegawai kanan kerajaan.
3. Sungguhpun jemputan terhadap delegasi tersebut bukanlah dibuat secara rasmi oleh Kerajaan Malaysia, namun sebagai negara yang komited menyanggah kezaliman dan penjajahan rejim Israel dan menterjemahkan ketegasan sikap dengan tidak membuat hubungan diplomasi dengan entiti haram tersebut, Malaysia sepatutnya lebih sensitif dalam perkara-perkara seumpama ini, dan tidak sewenang-wenangnya tunduk terhadap tekanan pihak-pihak tertentu termasuk PBB.
4. DPPM menegaskan bahawa kesudian Malaysia menerima kehadiran delegasi berprofil tinggi dari entiti haram Israel tersebut adalah keputusan yang salah dan tidak sewajarnya berulang lagi. Lebih-lebih lagi dewasa ini Israel semakin rakus merampas dan membunuh harta dan jiwa rakyat Palestin selepas pengumuman kerajaan Amerika Syarikat bahawa Baitulmaqdis adalah ibu negara Israel. Akibatnya peranan Malaysia sebagai sebuah negara yang memperjuangkan keadilan sejagat bagi rakyat Palestin melawan penjajahan Israel, telah tercalar. Bahkan, ia boleh ditafsirkan sebagai permulaan hubungan Malaysia-Israel.
5. Justeru, DPPM mendesak kerajaan Malaysia agar mengakui kesilapan ini dan seterusnya mempertegas komitmen untuk menolak sebarang bentuk hubungan dengan entiti haram Israel.
6. Dalam masa yang sama, kerajaan Malaysia perlu membuktikan dengan langkah-langkah diplomatik yang lebih strategik dan praktikal dalam memperjuang hak dan pembebasan Baitulmaqdis dan Palestin sekaligus menterjemah resolusi Persidangan Ulama Dunia Tentang Baitulmaqdis yang turut mempertegas pendirian umat Islam yang tidak sekali-kali mengiktiraf entiti haram Israel dalam apa jua keadaan.
USTAZ MUHAMMAD KHALIL BIN ABDUL HADI
KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA