KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
9 September 2017 | 18 Zulhijjah 1438
“DARUL AMAN: PAS SEDIA AMBIL ALIH”
1. PAS telah bersetuju menerima sistem demokrasi berparlimen menerusi pilihan raya sebagai salah satu uslubud-da’wah erdasarkan manhaj al-Qur‘an dan Sunnah yang menjadi dasar perjalanan parti sejak tahun 1951 hingga kini. Sehubungan itu, bagi mendepani PRU14, kami Pemuda PAS telah meletakkan objektif untuk menguasai sekurang-kurangnya 60 peratus undi orang muda di setiap Dun dan Parlimen yang ditandingi oleh PAS.
2. Kami akan memikul tugas untuk menggerakkan anak-anak muda di setiap Dun dan Parlimen bagi melakukan perubahan kepada negara mengikut tema ke arah mendaulatkan Islam dalam kerangka Perlembagaan sedia ada. Maka sebagai sayap kanan parti, insya-Allah kami sedang menggerakkan seluruh Jentera Pemuda bagi menghadapi PRU14 yang akan tiba pada bila-bila masa; tidak tahun ini, pastinya tahun hadapan.
3. Demi sesungguhnya, kita kini sedang menanti untuk memuktamadkan percaturan politik murahan mereka yang menentang Islam. Medan PRU14 ini pastinya cukup hebat sehinggakan ada yang menjangkakan pertembungan dua kelompok besar. Iaitu satu kelompok mahu memartabatkan Islam, dan sekelompok lagi tidak mahu Islam dimartabatkan. Inilah lanskap politik sedang berada dihadapan rakyat dan penentuannya sangat dekat.
4. Ingin ditegaskan, bahawa kami berdiri teguh sepenuhnya di belakang saf pimpinan bagi melaksanakan agenda mempersadakan Islam sebagai Agama Negara dengan pendekatan ‘Matang dan Sejahtera’ yang diambil oleh PAS sekarang ini. Melaksanakan “ta‘awun ‘ala al-birr wa al-taqwa” dan tidak “ta‘awun ‘ala al-ismi wal-‘udwaan”, adalah pendekatan terbaik yang mengikut manhaj al-Qur‘an dan al-Sunnah.
5. Kami mengambil ‘queue’ daripada barisan kepimpinan ulama untuk meniupkan semboyan ke medan tempur. Sehingga kini arah tuju PAS dalam PRU14 adalah berdiri sendiri bersama dengan parti-parti politik dan NGOs dalam wadah sebagai Blok Politik Ketiga bernama ‘Gagasan Sejahtera’. Blok ini akan berhadapan Blok Pertama; Umno dengan Barisan Nasional (BN) dan Blok Kedua; DAP serta sekutu Pakatan Harapan (PH).
6. Jangan menganggap, ketidakupayaan PAS memerintah seluruh negara sejak 1955 hingga kini menerusi sistem pilihan raya sebagai tanda kami di landasan yang silap. Sebaliknya kami yakin dan akan terus istiqamah di jalan ini. Demi sesungguhnya, kami berjuang dengan ingatan bahawa Allah SWT tidak bertanya mengenai hasil dakwah diperolehi, tetapi kami akan dipersoalkan perkara yang diusahakan sepanjang usia diberikan.
7. Kami yakini, Kedah akan dapat kembali diperintah sebagaimana PAS pernah mendapatnya pada PRU12 dahulu. PAS di Kedah telah bertapak kukuh dengan pengalamannya, serta teruji dengan sejarah perjuangan yang menyemarakkan kebangkitan. Peristiwa Memali, Lubuk Merbau dan rampasan tanah Muassasah Darul Ulum serta tokoh-tokoh pernah dilahirkannya, mengenalkan semangat dan roh yang membara di negeri ini.
8. Kami dapati, sahabat Pemuda PAS Kedah sedang cukup bersedia menempuh mehnah PRU14 di semua 36 Dun dan 15 Parlimen seluruh negeri ini dalam keadaan Jentera yang cukup baik. Malah, mereka bersedia untuk menurunkan BN yang sarat dengan bebanan dan masalah untuk tidak terus diteraju kuasa. Bahkan, kemampuan Pemuda PAS Kedah tentunya mengatasi PH yang masih tidak sepakat dan celaru, serta rela ditentu nasib oleh DAP.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”
USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia