Home Kenyataan Media PAS Wilayah

KENYATAAN MEDIA DEWAN ULAMAK PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

218
SHARE

LARANGAN MENJUAL ARAK DI KEDAI RUNCIT DAN KEDAI SERBANEKA KEPUTUSAN TERBAIK
(22 November 2020)

Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) menyokong penuh keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tidak membenarkan semua kedai runcit, kedai serbaneka dan ubat tradisional Cina menjual arak kecuali bagi tujuan ubatan tradisional. Meskipun peraturan ini akan berkuatkuasa pada Oktober 2021, namun ia memberi harapan baharu kepada masyarakat untuk menjadi warga yang sihat, bersih dan selamat.

DUPWP menganggap keputusan DBKL ini adalah langkah paling bijak, tepat pada masanya, dan sangat relevan dengan suasana semasa. Umat Islam dan masyarakat yang prihatin di Kuala Lumpur sentiasa mendokong penuh keputusan ini dan mengharap Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa istiqomah dengan keputusan tersebut tanpa gentar terhadap ugutan pihak tertentu.

Bagi kami, keputusan ini diambil bukan dalam keadaan drastik dan terburu-buru melainkan dengan penuh hikmah dan perancangan teliti. Bahkan, keputusan ini telah didambakan sejak bertahun yang lalu di era pemerintahan kerajaan BN, PH dan kini Perikatan Nasional (PN).

Dalam hal ini, tidak timbul ianya menjejas perniagaan pihak tertentu atau menggugat kepentingan golongan tertentu kerana proses yang diambil untuk pelaksanaannya dalam tempoh setahun dari sekarang. Ini bermakna, semua pemilik kedai runcit dan kedai serbaneka dan kedai ubat Cina mampu membuat persediaan secukupnya bagi menghadapi peraturan baharu yang dilaksanakan oleh DBKL dalam tempoh setahun ini.

Keputusan ini pastinya melegakan sebahagian besar warga kota terutama umat Islam. Kerajaan sangat memahami keluhan warga Kuala Lumpur yang merasa tidak selesa apabila kedai runcit, kedai serbaneka menjual minuman keras di mana-mana premis secara terbuka. Realitinya tiada siapa dapat menyekat golongan muda dan remaja daripada membeli dan memilikinya. Malah, keadaan ini juga mengundang kerisauan dan ketakutan kepada pekerja premis terbabit kerana terpaksa memegang botol dan tin arak yang dibeli oleh pelanggan.

DUPWP menegaskan, tidak berbangkit soal kerajaan mahu menyekat kebebasan segelintir masyarakat yang mahu memiliki arak kerana larangan ini bukan pada semua premis perniagaan. Arak dan minuman beralkohol ini masih boleh dijual di kedai arak, kedai runcit, pub, bar, pasar raya, pasar raya besar dan kedai borong. Mereka yang mahu memiliki arak boleh terus ke premis terbabit tanpa risau bekalan atau stok tiada di pasaran.

Selain itu, DUPWP mengingatkan semua pihak, bahawa orang yang cerdik pandai, belajar dan faham pasti tidak akan meminum arak tidak kira apa juga latar agama. Semua kita sedar, arak itu memabukkan dan boleh merosakkan minda, mendatangkan penyakit, menyebabkan berlakunya jenayah, serta boleh memudaratkan orang lain.

USTAZ HJ MD ALI JAMIL
Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan