Home Kenyataan Media PAS Sarawak

“KENDALIKAN KES SECARA ADIL DAN TELUS TANPA MENGIRA FAHAMAN POLITIK”

329 views
SHARE

1. PAS Sarawak mengikuti perkembangan mengenai tuduhan terhadap seorang ahli PAS di Sibu yang ditahan oleh PDRM Sibu dan direman selama 4 hari kerana didakwa mengancam ADUN DAP di Facebook. Individu berkenaan kini telah dibebaskan dengan jaminan polis.

2. PAS Sarawak telah menghubungi orang yang kena tuduh (yang juga dilaporkan positif dadah) untuk membuat laporan polis dan sidang akhbar untuk membersihkan namanya (kerana dakwaan difitnah).

3. Kenyataan individu tersebut di Facebook pada dasarnya meminta wakil rakyat dari DAP menjadi lebih bertanggungjawab dan turun padang untuk menjalankan tugasnya dengan amanah sebagai wakil rakyat di kawasannya.

4. PAS Sarawak meminta agar kes ini dapat ditangani dengan adil, telus dan tanpa mengira fahaman politik.
PAS Sarawak juga ingin menegaskan bahawa tindakan yang sama juga perlu diambil terhadap mana-mana individu yang membuat kenyataan fitnah atau berniat jahat kepada mana-mana ahli politik dari semua peringkat tanpa mengira parti kerajaan atau pembangkang.

5. PAS Sarawak ingin merujuk kepada kenyataan video yang menghina Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS oleh seorang ahli DAP di Sabah baru-baru ini. Beberapa laporan polis telah dibuat dan dimaklumkan setakat ini tiada pendakwaan telah diambil terhadap individu tersebut. Kami tidak mahu sebarang ‘double standard’ dalam menangani kes sebegini.

6. Sekali lagi, PAS Sarawak ingin menekankan bahawa undang-undang di negara ini harus dihormati dan dilaksanakan dengan adil tanpa mengira latar belakang politik mana-mana pihak.

7. PAS Sarawak juga ingin menyatakan bahawa individu terbabit bukan Pengurus Pusat Tahfiz seperti yang dilaporkan oleh media, individu tersebut hanya membantu pihak pengurusan. Individu berkenaan juga bukan Pemimpin PAS Sarawak seperti laporan media dan tidak memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana peringkat PAS Sarawak dan merupakan seorang ahli biasa yang menyatakan pandangan peribadinya terhadap wakil DAP yang tidak melaksanakan tugas mereka di kawasannya.

8. PAS bersimpati dengan nasib ahli PAS yang difitnah oleh media dan berharap dengan penjelasan ini pihak-pihak yang berkenaan tidak menghukum sesiapa sebelum terbukti bersalah. Setiap seorang tidak bersalah sehingga disabitkan bersalah oleh Mahkamah Undang-undang.

Sekian, terima kasih.

HJ JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya PAS Sarawak
Bertarikh: 9 Januari 2019.