Kenapa Pengalaman Coronavirus Lalu Berbeza Dengan 2019-nCoV
1. Dunia perubatan sentiasa berkembang. Pengalaman dan pengetahuan kita 10 hingga 15 tahun dahulu tidak sama dengan pengetahuan kita pada hari ini. Jika dahulu, pembedahan appendiks dianggap sekadar pembedahan biasa tetapi sekarang, ia dijalankan melalui “key-hole surgery” . Begitu juga dengan pelbagai cara rawatan bagi penyakit lain.
2. Ini disebabkan oleh pengetahuan yang bertambah, teknologi yang berkembang dan kepakaran yang semakin menjurus.
3. Yang menariknya dalam dunia perubatan, jarang kita mendengar pakar-pakar berselisih pandangan di dunia maya. Ini berlaku kerana sikap saling menghormati di antara satu sama lain. Kita memahami tidak ada salah atau betul di dalam sesuatu keputusan yang dibuat. Ia sangat bergantung kepada pengalaman dan cara seseorang pakar diajar untuk membuat keputusan.
4. Begitu juga dengan kes 2019-nCoV ini. Kita tidak boleh samakan dengan pengalaman kita di dalam menghadapi isu virus SARS pada tahun 2003 atau Mers pada tahun 2014. Atau berbangga dengan pengalaman kita menghadapi virus Nipah pada tahun 1998 dengan kematian 100 orang. Pada kita berjaya, tetapi pada orang lain mungkin ia gagal. Namun, mungkin itu merupakan langkah terbaik yang kita boleh lakukan dengan mengambil kira suasana pada ketika itu, dan kita berjaya mengatasinya.
5. Kenapa kita kata pendekatan untuk 2019-nCoV ini perlu berbeza dan perlu lebih pantas untuk mengekangnya :
i. Sistem pengangkutan di China dan dunia dahulu tidak sama dengan apa yang ada sekarang. Pada masa ini, pergerakan manusia terlalu pantas. Sistem keretapi laju China yang bermula pada tahun 2007 telah jauh berkembang dengan kelajuan 200 hingga 350 km sejam. Kapasiti penumpang yang telah mencecah 1.5 bilion pada tahun 2016 dengan Wuhan sebagai salah satu hentian utama, memberikan gambaran betapa pantasnya pergerakan pada hari ini.
ii. Air Asia yang merupakan syarikat penerbangan luar terbesar di China telah memulakan penerbangan antarabangsa pada tahun 2004 dan memulakan penerbangan ke Xiamen, China pada April 2005. Ia telah memulakan penerbangan ke Wuhan pada tahun 2017 dan pada hari ini, Air Asia mempunyai 16 destinasi ke seluruh China serta 165 destinasi ke seluruh dunia (termasuk subsidiari). Ini melibatkan sekurang-kurangnya 5 juta penumpang ke China seperti yang dilaporkan pada tahun 2015.
iii. Penularan wabak ini berlaku beberapa minggu sebelum Tahun Baru Cina. Faktor ini sangat penting kerana sambutan perayaan yang besar ini mengakibatkan mobilisasi rakyat yang besar. Dianggarkan 5 juta penduduk Wuhan telah meninggalkan Wuhan sebelum bandaraya penting itu ditutup kepada dunia luar.
iv. Sebahagian pesakit tidak menunjukkan gejala walaupun mereka telah dijangkiti. Ini juga merupakan faktor yang penting kerana “thermal detection” hanya berkesan kepada mereka yang mengalami gejala demam tetapi tidak kepada yang tidak mempunyai gejala. Kemungkinan pesakit yang terlepas adalah sangat tinggi.
6. Walau apapun, suatu perkara yang positif ialah semua yang dijangkiti di seluruh dunia mempunyai sejarah berada di Wuhan beberapa minggu sebelum perisytiharan dilakukan. Ini penting di dalam membuat keputusan. Itu jugalah yang telah dilakukan oleh Malaysia apabila Perdana Menteri mengisytiharkan penarikan balik pengecualian visa khusus untuk penduduk Wuhan,Hubei.
7. Kita juga sepatutnya akur bahawa apa yang telah dilakukan oleh kerajaan China merupakan yang terbaik untuk dunia. Tidak ada mana-mana negara dunia moden yang menutup sebuah bandar berpopulasi 11 juta orang begitu sahaja. Namun China berjaya melaksanakannya. Itu juga yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w apabila berlaku penyakit berjangkit di sesuatu tempat. Jangan ada yang keluar atau yang masuk melainkan untuk misi kemanusiaan dan perubatan. Satu amalan kuarantin yang diamalkan oleh China pada hari ini.
8. Namun, yang kita takuti ialah sekiranya ada kes transmisi kepada penduduk bandar lain yang tidak dilaporkan. Sekiranya itu berlaku, maka tidak dapat tidak Pandemik 2019—nCoV pasti akan berlaku.
9. Ada baiknya sekiranya kita bersikap proaktif pada sebarang ketidakpastian itu. Kerana kita yakin langkah pencegahan itu lebih baik daripada perawatan.
10. Namun, sekali lagi tiada salah atau benar dalam semua pendapat dan seharusnya ia dapat diambil kira dalam membuat sebarang keputusan. Yang penting kepada kita semua, salurkan pendapat anda dengan betul dan jauhi menyebarkan sebarang berita palsu dan fitnah.
12. Bersama-sama kita berdoa agar rakyat China berjaya mengatasi perebakan wabak ini kerana sekiranya tidak, maka implikasinya adalah kepada kita semua.
DR. MOHD MAZRI YAHYA
Pengerusi
Lajnah Kesihatan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
29 Januari 2020 | 4 Jamadilakhir 1441