Home Artikel PAS Pusat

Politik Penyelamat Bukan Politik Geram.

52
SHARE


POLITIK DAKWAH & AMAR MAKRUF : PRINSIP BUDAYA POLITIK MATANG DAN SEJAHTERA.

Naskhah Dakwah PAS Pusat. Siri 20
4 Jamadil Akhir 1441 | 29 Jan 2020

Politik Penyelamat Bukan Politik Geram.

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat
https://m.facebook.com/naskhahdakwah‬
https://t.me/Naskhahdakwah‬


1. YB Datuk Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang (TGHH) di dalam kitab terbarunya yang berjudul “Budaya Politik Matang Dan Sejahtera Suatu Penyelesaian” menakrifkan politik dakwah dan amar makruf sebagai :

“Sebuah budaya berpolitik yang mana kesemua tindakan adalah bermatlamat membawa manusia kepada keindahan dan kesempurnaan cara hidup Islam dengan mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran”

2. Bertitik tolak dari sini lah, antara matlamat utama PAS ialah mengubah kefahaman dan pendirian semua pihak (kepada perjuangan Islam) termasuk pesaing politiknya.

3. Ini bertentangan dengan budaya politik konvensional yang meletak objektif semata-mata mahu memusnahkan musuh politik. Bagi PAS, semua pihak adalah sasaran dakwahnya.

4. Objektif PAS bukan hanya menarik mereka sebagai pengundi, tetapi lebih penting lagi ialah menarik mereka kepada cara hidup Islam yang sempurna.

(Rujuk Kitab BPMS : Satu Penyelesaian oleh TGHH. M/s 201)

5. BPMS menghasilkan kematangan bertindak. Samada tindakan politik mahupun tindakan dakwah. Supaya ia tidak bertolak dari emosi amarah dan geram.

6. Semasa mengangkat perbahasan “BPMS : Politik Penyelamat Bukan Politik Geram”, TGHH merakamkan satu hadis Nabi SAW : (rujuk m/s 156)

‎أَحْبِبْ حَبِيبَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ بَغِيضَكَ يَوْمًا مَا وَأَبْغِضْ بَغِيضَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ حَبِيبَكَ يَوْمًا مَا

Kasihlah terhadap seseorang yang disayangi dengan berpada-pada (jangan melampau), kerana kemungkinan di suatu hari nanti dia menjadi musuh yang paling dimarahi. Marahlah terhadap seseorang dengan berpada-pada (jangan keterlaluan), kerana dia boleh menjadi kekasih di satu hari nanti.

Riwayat Imam Tirmizi.

Haluskan budi,
Gamit madu’u tanpa jemu.
Tinggikan pekerti,
Bimbing mereka dengan ilmu.

7. Melestari budaya politik yang matang dan sejahtera, setiap anggota parti (pimpinan dan ahli biasa) layaknya mengimbangkan penglibatan dengan jamaah ini di atas 3 landasannya :

a) Tarbiyah
b) Dakwah
c) Siasah

8. Seboleh mungkin kita mengelak diri dari terjebak dalam politik amarah, politik dendam, politik tutup pintu, politik provokasi, politik tidak boleh bincang, politik tidak boleh bersua muka, politik tidak boleh bergambar sekali dan lain-lain yang negatif sifatnya.

9. Namun dalam masa yang sama, jangan longgar pegangan. Jangan mudah cair prinsip. Jangan cepat ikut gaya orang. Jangan dedah rahsia jamaah. Jangan tikam jamaah dari belakang.

10. Sebaliknya terus kental dan thabat dengan prinsip perjuangan Islam yang didukung bersama jamaah ini. Berikan kepercayaan (thiqah) kepada pimpinan dan tumpahkan taat setia kepada jamaah selama ia tidak bercanggah dengan Al Quran dan As Sunnah.

Islam Memimpin Perpaduan.