Home Artikel PAS Pusat

Dinar Emas Kelantan: Simbol Kerajaan Berserah Kepada Allah

501
SHARE
Sumber Gambar: http://agarakutidaklupa.blogspot.com/2015/08/jalan-jalan-pantai-timur-muzium-islam.html


ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS 2020

Entri 16

Oleh Mohd Fadli Ghani
https://m.facebook.com/mohdfadlighani

DINAR EMAS KELANTAN: SIMBOL KERAJAAN BERSERAH KEPADA ALLAH


PENEMUAN dinar emas atau mata wang emas di Kota Kubang Labu, Kelantan pada 1914 telah menjadi artifak penting yang membuktikan wujudnya sebuah kerajaan Islam di Kelantan sejak abad ke-12 dan sekali gus menunjukkan Islam turut berpengaruh dalam kegiatan ekonomi orang Melayu Kelantan. Menurut sesetengah pengkaji, mata wang emas Kelantan mempunyai tiga jenis iaitu emas kijang, emas matahari (teratai) dan emas bertulisan Arab. Ketiga-tiga jenis dinar ini menjadi bukti pengamalan ekonomi Islam di Kelantan. Menurut Nik Mohamed (1995), dinar matahari dibawa ke Kelantan dan Pattani oleh pedagang dari Sumatera sejak abad kelapan. Dari sudut sejarah, dinar emas yang pertama di keluarkan ialah pada tahun 76H (695M) oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan, dan ia digunakan secara meluas dalam seluruh kerajaan Islam sehingga kejatuhan khilafah pada 1924.

Dinar Emas Kelantan yang ditemui di tapak bekas ibu negeri Kelantan yang lama, Kota Kubang Labu pada 1914 dikategorikan dinat emar bertulisan Arab yang biasanya dijumpai di Kelantan dan Pattani. Pada syiling ini, tertulis tulisan Arab pada kedua-dua mukanya dengan dicatatkan tarikh pengeluarannya pada tahun 577H, bersamaan tahun 1181M. Pada muka 1 dinar ini, tercatat perkataan “al-Julus Kelantan” yang memberi maksud “Yang Berkerajaan di Kelantan.” Perkataan al-Julus memberi maksud “Yang Bersinggahsana” atau “Yang Berkerajaan,” menunjukkan bahawa telah wujud sebuah kerajaan di Kelantan pada abad ke-12 itu. Menurut sejarah Kelantan, pada abad ke-12, Kelantan termasuk di bawah Kerajaan Jawaka. Jawaka juga disebutkan sebagai kerajaan pertama beragama Islam di Kelantan.

Menurut Abdullah Muhamed (Nakula) (1981), kerajaan Kelantan purba dikenali sebagai ‘Medang Kamulan,’ sebelum ia disebut sebagai ‘Medan Gana’ menjelang abad pertama dengan diperintah oleh Sri Kripawarman (Wan Pa) yang terkenal itu. Pada abad kelima, ia sudah disebut dengan sebutan ‘Kelantan’ dengan beberapa sebutan seperti ‘Kalatana,’ ‘Ho-lo-tan’ dan ‘K’ou-lo-tan.’ Menurut Shen Yo (m. 512), negara Kalatana menguasai Empayar Yawadipa pada abad kelima. Dalam separuh kedua abad keenam, Kelantan disebut oleh orang India sebagai ‘Raktamrittika’ yang bermaksud Negeri Tanah Merah atau ‘Chih-tu’ dalam sebutan Cina. Kemudian, pada abad ketujuh muncul kerajaan Sriwijaya, di mana dikatakan ia terbahagi dua. Kawasan lautan berpusat di Palembang, dan kawasan daratan berpusat di Kelantan. Sriwijaya Kelantan diperintah oleh Sri Maharaja Dwipantara, putera Maharaja Sri Jayanaga. Memasuki abad kelapan hingga 11, Sriwijaya Kelantan dikenali sebagai Kerajaan Sampugita, yang disebut oleh China sebagai ‘San-fo-tsi’ atau Zabaj oleh Arab. Sejak abad ke-11, menurut Nakula, sebutan Medang Bumi untuk Kelantan telah hilang, tetapi disebut pula Medan Kilatan Saji. Kerana itu, perkataan pada dinar emas itu tertulis Kelatan (K-L-T-N) dalam aksara Arab. Setelah Sampugita, muncul pula Kerajaan Jawaka dan Malayur yang berpusat di utara, tetapi kembali berpusat di Kelantan pada zaman Raja Sang Tawal (m. 1335).

Pada muka 2 dinar ini, tertulis pula perkataan “al-Mutawakkil ala Allah” yang memberi makna “Yang Berserah Kepada Allah,” sekali gus menunjukkan bahawa kerajaan Kelantan adalah beragama Islam, dan dipercayai perkataan “al-Mutawakkil” itu adalah gelaran bagi raja yang memerintah Kelantan ketika itu. Semenjak pembentukkan Daulah Abbasiyah pada tahun 750, raja-raja telah memakai gelaran kebesaran seperti ini untuk menunjukkan mereka adalah khalifah Allah di atas muka bumi. Dalam sejarah Daulah Abbasiyah, raja yang memakai gelaran al-Mutawakkil ialah al-Mutawakkil (847-861) di Baghdad serta al-Mutawakkil I (1362-1383), al-Mutawakkil II (1479-1497) dan al-Mutawakkil III (1506-1517) yang pusat di Kaherah.

Tidak dapat dipastikan siapakah raja Kelantan yang memakai gelaran tersebut, tetapi dalam catatan tentang Kerajaan Jawaka, raja pertama yang direkodkan beragama Islam ialah Raja Zainuddin yang lebih terkenal sebagai Raja Sakranta (1267-1296), iaitu anak Raja Thilam yang memerintah di Langkasuka. Ia adalah satu zaman yang tidak jauh daripada tarikh dinar emas itu, iaitu tahun 577H atau 1181M. Berdasarkan rekod sejarah, pada 1181, pusat kerajaan terletak di Langkasuka dengan dipertintah oleh Raja Suran (l. 1169). Di Kelantan sendiri, belum jelas siapakah raja yang berkuasa, yang mungkin tunduk di bawah Empayar Jawaka.

Walau apapun tafsiran yang dibuat terhadap dinar emas ini, ia menjadi bukti artifak bahawa pada abad ke-12 telah wujud sebuah kerajaan Islam di Kelantan. Mereka telah menerapkan hukum Islam dalam pemerintahan, dan sistem perdagangan mereka juga dipengaruhi oleh Islam. Raja yang memerintah Kelantan bergelar al-Mutawakkil atau jata kerajaannya ialah al-Mutawakkil ala Allah iaitu kerajaan yang berserah diri kepada Allah. Yang menarik, pada kerajaan Kelantan hari ini, tertulis “Berserah Kepada Tuhan Kerajaan Kelantan,” benar-benar terjemahan kepada motto “al-Mutawakkil ala Allah al-Julus Kelantan.”

MOHD FADLI GHANI
Ketua Lajnah Sejarah dan Arkib, Sidang as-Sabiqun PAS Pusat
18 Jamadil Awal 1441
16 Januari 2020