Home Berita PAS Perak

Kemantapan Tadbir Urus Islam Melahirkan Masyarakat Berakhlak

644
SHARE
BACALAH WAHAI TEMAN (25)
Rabu, 24 September 2020
KEMANTAPAN TADBIR URUS ISLAM MELAHIRKAN MASYARAKAT BERAKHLAK
Malaysia memiliki institusi agama yang menjadi model kepada dunia. Ini kerana tidak banyak negara yang mana kerajaannya bertanggungjawab penuh dalam agenda memartabatkan Islam.
Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk mentadbir hal ehwal agama Islam. Pembahagian kuasa di antara kerajaan-kerajaan negeri dan Persekutuan ini adalah selaras dengan kuasa ketua agama di dalam negeri iaitu DYMM Sultan di negeri-negeri Melayu yang beraja.
Duli Yang Maha Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al Marhum Sultan Azlan Muhibbdin Shah Al Maghfur Lah mempunyai kuasa tertinggi dalam hal ehwal agama Islam di dalam negeri Perak.
Atas dasar itu, kita perlu memastikan setiap institusi atau agensi agama diuruskan dengan baik mengikut konsep tadbir urus Islam. Sudah tentu masyarakat ingin institusi agama mengamalkan nilai yang lebih baik kerana tanggungjawabnya membabitkan dimensi besar. Ia lebih bermakna apabila ini merupakan satu tuntutan agama dan amanah Allah SWT.
Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.” (Surah al-Nisa’: 58)
Bagi konteks Negeri Perak, umat Islam yakin Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan terus memainkan peranan penting dalam sistem pentadbiran kerajaan negeri, walaupun pentadbiran kerajaan negeri berlaku perubahan pada bulan Mac yang lalu. Ini membuktikan keupayaan Jabatan dalam menjalankan tanggungjawab melewati sempadan politik.
Kerajaan negeri melalui JAIPk sentiasa memberi fokus yang khusus dalam menjaga maslahah agama, melaksanakan pendekatan dakwah dan tarbiah demi memastikan pemeliharaan perpaduan ummah.
Sebagai individu yang terlibat sama dengan institusi-institusi agama di dalam negeri Perak, kami berpandangan bahawa lima teras penting yang boleh melahirkan masyarakat berakhlak, di samping banyak lagi teras lain yang perlu diselarikan dalam menjayakannya.
1. Dakwah
Profesionalisme dalam pengurusan program dakwah menjadikan setiap kakitangan melaksanakan tanggungjawab dengan lebih gigih dan berdedikasi. Semangat begini dapat menyelesaikan setiap masalah yang timbul dan dapat mengurangkan masalah dari dalam organisasi. Selagi tidak bertentangan dengan akidah, syarak dan akhlak terutama dari segi sistem, prosedur, teknikal dan sebagainya, terus digalakkan.
Bahagian Dakwah JAIPk telah bergerak aktif dalam aktiviti dakwahnya dengan tenaga yang terhad. Dilaporkan, Guru Agama Dakwah seramai 100 orang seluruh di negeri Perak. Tugas utama Guru Agama Dakwah adalah meluaskan sebaran dakwah ke segenap sasaran dan ruang yang ada. Namun begitu, fungsi yang ada ini akan terus diperkasakan pada masa akan datang.
Hasil usaha kerajaan sejak tahun 1993, Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) dapat diwujudkan. Begitu juga, Majlis Agama Islam Dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) telah mewujudkan jawatan Mubaligh dan Pembantu Mubaligh. Keseluruhan jentera dakwah ini adalah seramai 98 orang. Tugas utama mereka iaitu memberikan pendidikan agama yang berterusan dengan melaksanakan “Dakwah Islamiah” dalam kalangan masyarakat muslim saudara kita, orang asli dan bukan Islam.
PMOA dan Mubaligh juga melaksanakan tugas-tugas menjaga kebajikan saudara kita dan orang asli. Mereka juga berperanan besar dalam melahirkan imam, bilal dan pengurus jenazah dalam kalangan mereka.
Firman Allah SWT
لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لَا انْفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah. Karena itu, barang siapa yang ingkar kepada tagut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Surah Al Baqarah : ayat 256)
Kami menyeru lebih ramai lagi NGO-NGO Dakwah untuk bekerjasama dalam usaha ini. Dalam masa yang sama kami turut merangka untuk mengumpulkan sukarelawan dakwah untuk bersama sama memperkasakan agenda ini
2. Penguatkuasaan Undang-undang Syariah
Pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang jenayah syariah di Malaysia sering menimbulkan komen negatif dan polemik dalam kalangan masyarakat Islam. Masyarakat sering mempersoalkan sejauh manakah tahap penguatkuasaan undang-undang jenayah syariah dijalankan dalam membendung aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan Hukum Syarak.
Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah (BPUS) JAIPk adalah sebuah entiti yang beroperasi secara optimum dalam melaksanakan ‘Amar Ma’aruf Dan Nahi Munkar.
Menurut statistik peringkat Negeri Perak yang dilaporkan sepanjang tahun 2019, sebanyak 1017 aduan direkodkan dengan kes jenayah Syariah tertinggi yang dicatatkan iaitu kes khalwat diikuti hamil luar nikah, judi, minuman yang memabukkan dan menggalakkan maksiat. Manakala pada tahun ini, antara Januari hingga Jun sebanyak 534 aduan.
Jumlah kertas siasatan yang dibuka pada 2019 sebanyak 821 manakala pada 2020 sebanyak 552. Jumlah operasi yang dilakukan sepanjang 2019 sebanyak 803, manakala pada 2020 sebanyak 564. Ini menunjukkan bahawa BPUS sangat komited dengan tugasan untuk memperkasakan Undang undang Syariah Perak.
Pada tahun 2020 ini juga, BPUS JAIPk dapat dilihat dengan operasi besar-besaran yang membabitkan premis judi secara berkala. Disamping mereka juga menjalankan siasatan dan operasi yang berasaskan aduan ke premis-premis maksiat, tempat yang terbabit dengan kesalahan yang berhubungan dengan akidah, maruah agama dan intitusinya di seluruh negeri Perak
Firman Allah SWT :
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِوَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh untuk berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. (Surah Ali Imran: 104)
3. Memakmurkan Masjid
Masjid merupakan institusi yang penting dalam membangunkan masyarakat. Peranan masjid termasuklah sebagai agen untuk menyatukan masyarakat dan membantu menyelesaikan urusan mereka. Masjid yang benar-benar berfungsi akan memberikan banyak faedah dan manfaat kepada masyarakat di sekitarnya seperti dalam aspek pembentukan kerohanian, keilmuan dan juga sebagai pusat rujukan.
Firman Allah SWT:
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ
Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk. (Surah Al-Taubah: 18)
Bahagian Pengurusan Masjid (BPM) JAIPk telah menyusun aktiviti pengimarahannya (memakmurkan) dengan baik demi mengembalikan fungsi masjid yang selari dengan tuntutan Nabi Muhammmad SAW. Negeri Perak telah pun memberikan penarafan “Masjid Bestari” kepada masjid yang mengikut piawaian seperti pengurusan, pengimarahan, prasarana dan persekitaran. Sebanyak 116 buah masjid akan dinilai dalam mencapai status “Masjid Bestari” ini.
Selain itu, usaha pihak BPM JAIPk untuk menjadikan masjid di Negeri Perak sebagai One Stop Society Centre, taman ilmu dan pusat informasi. Peranan belia masjid juga ditekankan dengan penekanan agar mengaktifkan biro belia di seluruh 673 buah masjid negeri Perak.
4. Pendidikan
Menurut Pandangan Ibn Khaldun (1332–1406 M) dalam kitabnya al-Muqaddimah mengatakan : Pendidikan Islam mengarah kepada dua tujuan iaitu;
a- Matlamat keagamaan, dengan maksud beramal untuk akhirat, sehingga ia menemui Tuhannya, dalam keadaan ia telah menunaikan hak Allah SWT yang diwajibkan ke atasnya,
b- Matlamat ilmiah, keduniaan, iaitu apa yang diungkapkan dalam pendidikan moden dengan tujuan kemanfaatan, atau persiapan untuk hidup.
Penekanan Kerajaan Negeri Perak dalam melahirkan generasi pencinta Al-Quran sangat jelas. Di Negeri Perak terdapat 89 buah sekolah tahfiz, 5 adalah Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) dan 84 lagi merupakan sekolah tahfiz swasta. Malah terdapat sebilangan lagi tahfiz yang sedang dalam proses melengkapkan pendaftaran.
Sokongan Kerajaan Negeri Perak terhadap institusi ini dapat dilihat dengan kelulusan peruntukan tambahan sebanyak RM1.66 juta kepada Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (PEMATAP) yang menaungi seluruh tahfiz swasta bagi memperkasakan institusi terbabit.
Selain itu, Kerajaan Negeri telah melancarkan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Islamik atau Teknohafiz bagi memberi nilai tambah kepada bidang pendidikan baharu tahfiz berasaskan TVET. Setakat ini enam pusat kemahiran awam telah dipilih untuk program itu, antaranya Giatmara, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Kolej Risda.
5. Pembangunan Keluarga
Allah SWT telah menurunkan undang-undang keluarga Islam sebagai panduan kepada seluruh institusi keluarga. Institusi keluarga dapat memelihara akhlak, tata susila dan kemuliaan manusia melalui ikatan perkahwinan. Di samping itu, ia mempunyai peranan yang amat penting dalam pembentukan individu kerana peribadi yang baik akan membentuk keluarga yang baik, daripada keluarga yang baik akan melahirkan masyarakat yang baik dan seterusnya tertegak sebuah negara yang cemerlang di bawah keredhaan Allah SWT.
Bahagian Pembangunan keluarga (BPK) JAIPk telah memainkan peranan penting dengan beberapa tugasan utama. Antranya memberi pendidikan kekeluargaan bermula sebelum berkahwin dengan penganjuran Kursus Pra Perkahwinan dan kelangsungan majlis akad nikah melalui Penolong Pendaftar Perkahwinan. Malah selepas berkahwin, jika terdapat permasalahan rumah tangga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada pegawai yang berautoriti.
Antara fungsi besar yang dimainkan oleh bahagian Sokongan Keluarga (BSK) JAIPk pula adalah memberi khidmat nasihat perundangan kepada orang Islam mengenai hak dan tuntutan di mahkamah syariah terutama mengenai isu nafkah. Selain itu, menyalurkan bantuan sara hidup sementara kepada isteri dan anak-anak yang berhadapan dengan masalah mendapatkan nafkah dari pihak yang wajib membayar nafkah dan menjadi agen mengutip dari pihak yang diperintahkan membayar nafkah oleh mahkamah.
Justeru, kami menyeru kepada seluruh rakyat Negeri Perak agar bersama-sama menjadikan JAIPk dan rangkaian Pejabat Agama Daerah seluruh negeri Perak sebagai institusi penyelesaian dan penyatuan ummah. Kunjungilah mereka dalam urusan yang berkaitan hal ehwal Agama Islam. Semoga kemantapan tadbir urus Islam ini dan kerjasama pelbagai pihak akan melahirkan masyarakat bertaqwa dan berakhlak mulia.
Oleh:
YB Mohd Akmal bin Hj Kamarudin
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan
Kerajaan Negeri PerakImage may contain: one or more people and people standing, text that says "PERAK YB USTAZ MOHD AKMAL HJ KAMARUDIN PENGERUSI JAWATANKUASA AGAMA ISLAM DAN PENERANGAN NEGERI PERAK Bacalah Wahai Teman KEMANTAPAN ARellahichan ISLAM MASYARAKAT BERAKHLAK"