Home Artikel PAS Perak

Skim Bantuan Pendidikan Anak Perak

242
SHARE
SKIM BANTUAN PENDIDIKAN ANAK PERAK
IPOH, 26 September 2020 – Anak Perak yang bakal menyambung pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu didedahkan kepada norma kehidupan di sana lebih awal supaya tidak berlaku kejutan budaya, pengurusan diri dan masa.
Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil dengan kerjasama Yayasan As-Syafie menganjurkan Program Perintis Mahasiswa Intelek Perak (PERMAI) bagi memberi pendedahan awal kepada anak Perak selain menerangkan insentif kerajaan negeri bagi bantuan pendidikan.
Jelas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, YB Razman Zakaria, program sebegitu penting dalam usaha membetulkan dan memudahkan hala tuju dan perjalanan pelajar ketika berada di IPT kelak.
“Hari ini kita nak memberi fokus kepada pendedahan skim bantuan pendidikan mahasiswa anak-anak Perak bagi memudahkan urusan mereka menyambung pelajaran di mana kita melihat bahawa suatu masa nanti mereka pasti akan menyumbang semula kepakaran mereka kepada kerajaan negeri” jelasnya.
Tambahnya, ramai diantara pelajar IPT tidak mengambil peluang yang ada kerana kurang pendedahan dan maklumat diberikan berkenaaan skim itu.
Dalam pada itu, Eksekutif Penyelidikan II Yayasan Perak, Emiruddin Mohamed Zawadi menjelaskan, bantuan secara ‘One-Off’ turut ditawarkan pihaknya kepada mana-mana anak Perak yang baru kali pertama menyambung pelajaran dalam peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan Ijazah Falsafah Kedoktoran (PhD).
“Sedikit penerangan berkenaan bantuan yang kita sediakan dapat dilakukan secara terus melalui program sebegini yang sebelumnya maklumat-maklumat ini hanya boleh didapati secara maya sahaja, usaha yang baik daripada pihak kerajaan negeri dalam memastikan bantuan-bantuan ini sampai kepada kumpulan sasar,” ujarnya.
Program Perintis Mahasiswa Intelek Perak (PERMAI) yang julumg kali diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ini dihadiri oleh 100 bakal pelajar dari seluruh daerah Negeri Perak selain turut menampilkan wakil daripada Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) dan Yayasan Perak.
Sumber: Komunikasi Strategik Perak [Stratcom]