Home Berita PAS Kedah

Kelulusan pembalakan dari kerajaan lalu

122
SHARE

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan kekeliruan berkenaan pembayaran premium pembalakan pada zaman pemerintahan kerajaan terdahulu.

“Saya ingin memberi penjelasan awal bahawa setiap pembalak yang mendapat kelulusan sesuatu kawasan perlu membayar premium sebanyak 10 peratus, 20 peratus atau 30 peratus,”ujar beliau dalam sidang media selepas menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Aman semalam.

“Apabila dikuatkuasakan peraturan maka diadakan jadual pembayaran premium supaya negeri mendapat kutipan hasil yang disasarkan. Jadi semua pembalak yang sudah diberi kelulusan sebelum ini perlu membayar premium yang berbaki dan tiada kelulusan baharu,” jelas beliau.

ADUN Anak Bukit, Dato’ Wira Haji Amiruddin Hamzah sebelum itu membaca petikan jawapan bertulis tentang premium pembalakan yang dikutip bermula zaman pemerintahan  Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir sehingga Menteri Besar sekarang seolah-olah menggambarkan terdapat kelulusan pembalakan baharu.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri akan berhadapan implikasi perundangan seperti disaman jika pembalakan dihentikan sepenuhnya.

Tambah beliau lagi, persatuan pembalak pernah mengemukakan tuntutan bagi setiap kelulusan hektar yang mereka telah terima dan jumlah keseluruhan sekitar RM1 bilion setelah kelulusan yang telah diberikan dibatalkan.

“Jadi kita mahu elakkan perkara itu kerana ada beberapa kes kerajaan membatalkan kelulusan dan mereka kalah di mahkamah serta perlu membayar berpuluh juta yang tidak mampu dibayar,” katanya.