Home Berita PAS Selangor

Kelebihan dan keistimewaan 10 hari terawal bulan Zulhijjah – Dewan Ulama PAS Selangor

89
SHARE

May be an image of text that says "ZULHIJJAH waktu terbaik kumpul pahala 11JULAI AHAD 12JULAI ISNIN 03 13JULAI SELASA 14JULAL RABU KHAMIS 16JULAI JUMAAT 17JULAI SABTU 18JULAI AHAD ISNIN 20JULAI SELASA 10 hari yang awal memilki kelebihan yang tidak terdapat pada bulan yang lain Sabda Rasulullah saw, "Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih Allah cintai daripada (amalan yang dilakukan) pada hari-hari ini, yakni 10 hari yang awal bulan Zulhijjah." Ibadah yang terbaik dilakukan bulan ini ialah Ibadah Korban dan boleh juga dilakukan Aqiqah. Ibadah i untuk menzahirkan kesyukurankepada Allah. Mudah-mudahan, nikmat yang disyukuri menerusi Ibadah Korban dan Aqiqah ini berkekalan. f @ulamakpasselangor @my_dupn @dupns"

“Bingkisan Rida’ Di Bahu” | Dewan Ulama PAS Selangor

Oleh : Umar Al-Hayawi

Artikel | Bulan Zulhijjah dikenal sebagai bulan ditunaikannya ibadah haji yang juga termasuk salah satu rukun Islam.Terdapat pelbagai kelebihan bulan Zulhijjah kepada umat Islam, terutamanya pada 10 hari terawal bulan ini.

Sabda Rasulullah SAW,

“Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih Allah cintai daripada (amalan yang dilakukan) pada hari-hari ini, yakni 10 hari yang awal bulan Zulhijjah”

Antara keistimewaan dan kelebihan 10 hari pertama bulan Zulhijjah,

1. Pahala Yang Lebih Besar Daripada Jihad

Tahukah anda bahawa 10 hari pertama dari bulan Zulhijjah ini dapat memberikan pahala yang lebih besar dari Jihad?

Sabda Rasulullah:

مَا الْعَمَلُ فِي أَيَّامِ الْعَشْرِ أَفْضَلَ مِنَ الْعَمَلِ فِي هَذِهِ ‏”‏‏.‏ قَالُوا وَلاَ الْجِهَادُ قَالَ ‏”‏ وَلاَ الْجِهَادُ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَىْءٍ ‏”‏‏.‏

“Tiada amalan yang dilakukan pada hari lain yang lebih baik daripada amalan pada 10 hari ini. Para sahabat bertanya: Walaupun Jihad? Baginda menjawab: Tidak juga Jihad, kecuali jika seseorang keluar dengan nyawa dan hartanya dan tidak kembali lagi” (HR al-Bukhari)

Menurut al-Imam Ibn Hajar:

والذي يظهر أن السبب في امتياز عشر ذي الحجة لمكان اجتماع أمهات العبادة فيه ، وهي الصلاة والصيام والصدقة والحج ، ولا يتأتى ذلك في غيره

“Secara zahirnya, sebab yang menjadikan 10 hari pertama Zulhijjah ini lebih utama dari yang lain kerana 10 hari ini menghimpunkan semua amalan utama di dalam Islam iaitu solat, puasa, sedeqah dan haji. Himpunan amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain. (Fath al-Bari)

2. Hari Yang Paling Baik Dalam Setahun

10 hari pertama Zulhijjah dianggap sebagai hari yang paling baik dalam setahun.

Sabda Rasulullah:

أَفْضَلُ أَيَّامِ الدُّنْيَا أَيَّامُ الْعَشْرِ

“Sebaik-baik hari dalam dunia ini adalah 10 hari ini.”
Sehingga atas dasar itu al-Imam Ibn Taimiyyah menganggap 10 hari pertama ini lebih utama dari 10 hari terakhir dari bulan Ramadan.

Kata beliau:

أيام عشر ذي الحجة أفضل من أيام العشر من رمضان والليالي العشر الأواخر من رمضان أفضل من ليالي عشر ذي الحجة

Sepuluh hari awal Zulhijjah lebih afdal daripada sepuluh hari akhir Ramadhan, dan malam sepuluh akhir Ramadhan, lebih afdal daripada malam sepuluh awal Zulhijjah. [Majmu’ al-Fatawa, jilid 25, m/s 287]

3. Hari Yang Dicintai Allah

Sabda Rasulullah:

ما من أيام أعظم عند الله سبحانه ولا أحب إليه العمل فيهن من هذه الأيام العشر. فأكثروا فيهن من التهليل والتكبير والتحميد

“Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah dan tidak ada hari yang lebih disayangi oleh Allah supaya kita beramal di dalamnya melainkan pada 10 hari ini. Maka perbanyakkanlah bertahlil, bertakbir dan bertahmid” (HR al-Tabrani)

Semoga kita semua dapat memanfaatkan kebaikan dan kelebihan hari-hari di 10 hari terawal bulan Zulhijjah dengan pelbagai amalan sunnat bagi memperoleh keredhaan Allah SWT, InshaAllah.

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor