Home Kenyataan Media Presiden PAS

Kecaman Terhadap Penutupan Institusi Yang Melahirkan Para Ulamak Di Mauritania

2158
SHARE

Kenyataan Media Presiden PAS

KECAMAN TERHADAP PENUTUPAN INSTITUSI YANG MELAHIRKAN PARA ULAMA DI MAURITANIA

Kami mengikuti berita yang mendukacitakan di tanah air umat Islam, Mauritania, iaitu berkenaan tindakan pemerintah membatalkan permit institusi pengajian yang berfungsi melahirkan para ulama.

Saya sendiri pernah menziarahi pusat pengajian ini ketika berkunjung ke Mauritania beberapa tahun yang lalu. Ia adalah sebuah pusat pengajian yang sederhana dengan dana kewangannya pula banyak bergantung kepada infak orang ramai daripada golongan yang susah, namun mereka dapat merasakan kemanisan iman dalam agama mereka. Selain itu, terdapat juga sebahagian sumbangan daripada golongan yang senang.

Pusat ini dibina berasaskan sistem pendidikan Islam yang beraliran wasatiyah. Tiada sedikit pun doktrin ekstremisme, keganasan dan fahaman melampau yang mereka terapkan sebagai seruan terhadap kebangkitan Islam.

Saya sendiri pernah bertemu dengan para ulama mereka di bawah kepimpinan tokoh ilmuwan muda, Al-Syeikh Al- ‘Allamah Muhammad al-Hassan Walid al-Dido dan anak-anak muridnya yang berpakaian tradisional Mauritania yang serba sederhana. Mereka bukanlah memakai pakaian kalis peluru atau lengkap dengan peralatan untuk bertempur dengan ledakan gas pemedih mata.

Apa yang ada di sebalik pemakaian mereka hanyalah hafazan Kitab Allah (Al-Quran) yang mampu meluluhkan hati dan menitiskan air mata. Mereka itu adalah anak-anak watan yang datang dari segenap pelosok kampung dan desa untuk memperdalamkan pengetahuan mereka dalam agama serta menyampaikan pengajaran kepada kaum mereka supaya mengambil peringatan.

Oleh kerana itu, apabila dikeluarkan perintah menyekat institusi pengajian ini, tidak lain hanyalah sebahagian daripada tindakan mengikut strategi terkini dalam usaha menentang Islam dan memusuhinya. Ia juga adalah satu bentuk perubahan daripada sekatan musuh-musuh luar kepada penentangan dalam negara umat Islam itu sendiri. Selain itu, disebabkan oleh sifat hasad dalam diri mereka sendiri, setelah ternyata kepada mereka hakikat kebenaran dan kegagalan agama-agama selain Islam serta keruntuhan teori dan ideologi daripada negara besar dan negara kecil yang dihasilkan untuk memesongkan orang-orang Islam daripada agama mereka.

Ini semua tidak lain hanyalah melaksanakan apa yang pernah diungkapkan oleh bekas Perdana Menteri Britain, William Ewart Gladstone (1809-1898) di hadapan khalayak ramai:

“Terdapat tiga unsur kekuatan bagi orang-orang Islam. Iaitu Al-Kitab (Al-Quran), Solat Mingguan (Solat Jumaat dan dua khutbahnya) dan Ibadat Haji ke Makkah.”

Sesungguhnya mereka telah mempergunakan golongan yang dibelenggu dengan serangan pemikiran dalam kalangan anak-anak bangsa kita yang bertutur dengan bahasa ibunda kita, untuk menyeru ke arah pintu-pintu Neraka Jahannam dengan seruan agar menukar agama Islam yang lurus kepada Islam yang tunduk menurut kemahuan hawa nafsu mereka, sebagaimana mereka juga mengubah agama mereka dengan menamakannya sebagai Islam Politik, sedangkan ia hanyalah satu gerakan sekularisasi terhadap Islam yang sebenar.

Firman Allah S.W.T.:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ بَدَّلُوا نِعْمَتَ اللَّهِ كُفْرًا وَأَحَلُّوا قَوْمَهُمْ دَارَ الْبَوَارِ (28) جَهَنَّمَ يَصْلَوْنَهَا ۖ وَبِئْسَ الْقَرَارُ (29(

“Tidakkah engkau melihat (dan merasa ajaib) terhadap orang-orang kafir yang telah menukar kesyukuran nikmat Allah dengan kekufuran, dan yang telah menempatkan kaum mereka dalam kebinasaan? (Iaitu) Neraka Jahannam yang mereka akan menderita bakarannya; dan (ingatlah), seburuk-buruk tempat tetap ialah Neraka Jahannam.” (Surah Ibrahim: 28-29)

Firman Allah:

وَقَدْ مَكَرُوا مَكْرَهُمْ وَعِندَ اللَّهِ مَكْرُهُمْ وَإِن كَانَ مَكْرُهُمْ لِتَزُولَ مِنْهُ الْجِبَالُ (46) فَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ مُخْلِفَ وَعْدِهِ رُسُلَهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ ذُو انتِقَامٍ (47(

“Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk menentang Islam), sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, walaupun rancangan jahat mereka itu dapat melenyapkan gunung-ganang sekalipun. Oleh itu, janganlah engkau menyangka Allah memungkiri janji-Nya kepada Rasul-rasulNya; sesungguhnya Allah Maha Kuasa Lagi Sedia Membalas (orang-orang yang menderhaka kepada-Nya).” (Surah Ibrahim: 46-47)

Tidakkah pihak pemerintah ini yang didukungi oleh pasukan bersenjata dan pasukan keselamatan dengan kelengkapannya yang serba canggih serta di belakangnya negara-negara kuasa besar berasa malu untuk berhadapan dengan hanya sebuah pusat pengajian yang serba kekurangan?

Bertakwalah kamu semua kepada Allah dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Tetap teguhlah kamu dengan hidayah petunjuk Allah dan keberkatan-Nya.  

Daripada hamba yang fakir kepada Allah,

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

(Kenyataan ini adalah terjemahan daripada tulisan asal dalam Bahasa Arab bertajuk: استنكار إغلاق برنامج تكوين العلماء في موريتانيا الإسلامية)