Home Berita PAS Selangor

Kecam Tindakan Khianat Cubaan Bakar Surau Al-Huda, Damansara Damai – Exco Agama Selangor

3473
SHARE

Saya sangat berasa dukacita di atas tragedi perbuatan khianat cubaan untuk membakar Surau Al-Huda, Damansara Damai pada pagi subuh 19 November 2017 yang lalu. Saya mengecam sekeras-kerasnya serta mencela tindakan yang tidak bertanggungjawab ini yang dilihat sebagai cubaan untuk mencetuskan perasaan tidak tenteram di antara kaum, agama dan bangsa di kalangan masyarakat majmuk di Negeri Selangor ini.

Menurut saksi, dua orang lelaki dipercayai terbabit membaling bom petrol (molotov cocktail) ke dalam sebuah surau di Damansara Damai, Ahad lalu semasa para jemaah surau tersebut sedang menunaikan solat Subuh. Namun bom petrol tersebut tidak meletup. Walaubagaimanapun, saya dimaklumkan bahawa pihak polis daripada Balai Polis Sri Damansara telah berjaya menahan suspek kejadian khianat tersebut semalam untuk direman dan akan disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan. Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah di atas kecekapan dan tindakan profesional pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Saya dengan ini menyeru kepada semua rakyat pelbagai kaum di dalam Negeri Selangor agar tidak mengambil sesuatu tindakan yang boleh menyemarakkan sikap permusuhan di antara agama, kaum atau bangsa yang akhirnya akan mewujudkan suasana yang tidak aman di kalangan masyarakat. Marilah kita bersama-sama meraikan keunikan dan kepelbagaian yang ada di kalangan etnik bangsa, kaum dan agama di Negeri Selangor ini supaya negeri yang kita cintai ini akan terus aman makmur dan sentosa.

Y.B. DATO’ DR. AHMAD YUNUS BIN HAIRI D.P.M.S.
AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI SELANGOR (EXCO)
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan,
Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi
04 Rabi’ul Awwal 1439H bersamaan 23 November 2017