Home Berita PAS Pahang

Katil Pesakit – Penting untuk hospital di rumah

60
SHARE

Oleh: HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 5 Julai :: Katil Pesakit sangat penting untuk pesakit yang terlantar, memerlukan penjagaan dan pemerhatian yang khusus di rumah.

Selain dari memberi kemudahan kepada pesakit, ia juga sangat membantu kepada kesihatan penjaga yang menghadapi masalah sakit belakang dan sebagainya sepanjang penjagaan tersebut.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah YB Andansura Rabu dalam laman sosialnya sangat mengalu-alukan jika ada mana-mana pihak yang bersedia untuk menyumbang katil-katil berkenaan kepada yang sangat memerlukan.

“Setakat ini Pusat Khidmat DUN Beserah memiliki lebih dari tiga puluh buah katil wakaf untuk kegunaan pesakit yang uzur atau terlantar.

“Jumlah ini termasuk unit-unit yang diuruskan oleh PAS cawangan-cawangan dari infaq orang ramai yang telah digunakan oleh ahli keluarga dan tidak diperlukan lagi sebagai amal jariah.” kata Andansura.

Menurut beliau lagi sebahagiannya ada yang dibeli oleh Pusat Khidmat DUN Beserah dengan dana sendiri, hasil sumbangan awam sama ada dari individu, institusi atau PAS cawangan masing-masing.

“Susulan ziarah saya ke Batu Hitam petang semalam bersama kakitangan menghantar katil pesakit untuk kegunaan Mak Cik Aminah yang uzur, sangat membantu beliau untuk rasa selesa dan memudahkan anak-anak untuk menguruskannya.

“Kami tidak dapat memenuhi semua permintaan ahli masyarakat yang memerlukannya kerana jumlahnya yang terhad buat masa ini.” ujarnya lagi.

Andansura Rabu yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang menyatakan bahawa beliau akan berusaha menambah bilangan katil pesakit ini bagi memenuhi keperluan dan permintaan ahli masyarakat yang memerlukan.

“Oleh itu, kita cuba sedaya mampu untuk memenuhi keperluan ini dan kita senaraikan dulu nama-nama ahli masyarakat yang menunggu mengikut giliran dan keutamaan

“Insya Allah kami akan usahakan untuk penyediaan lebih banyak katil-katil wakaf untuk pesakit” katanya lagi.