Home Rencana PAS Perak

KARYA KREATIF | Menyusuri denyut tarikh 16 September 1963

20
SHARE

Oleh: Muhammad Syafiq Hamid

Memperingati tarikh kemerdekaan negara daripada penjajahan British iaitu pada tanggal 31 Ogos 1957. Malaysia mempunyai satu tarikh yang amat penting dalam lipatan sejarah negara iaitu 16 September 1963. Tarikh keramat ini juga dikenali sebagai Hari Malaysia adalah peristiwa memperingati ulang tahun penubuhan Persekutuan Malaysia yang menggabungkan Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah.

Hari Malaysia adalah tarikh yang penting untuk memperingati pembentukan sebuah negara dan kini kita mengecapi kemakmuran di dalam negara ini yang dibentuk tiga entiti utama iaitu Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah.Tarikh ini amat penting dalam membakar semangat rakyat dalam mengukuhkan rasa cintakan negara Malaysia yang dibentuk 58 tahun lalu.

Jika kita telusuri sejarah penubuhan Malaysia, selepas penyingkiran penjajah British, Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah (dikenali sebagai Borneo Utara) telah cuba membentuk sebuah persekutuan yang akhirnya dikenali sebagai Malaysia. Cadangan ini bermula melalui ucapan Perdana Menteri Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam satu persidangan di Singapura pada 1961.

Hasil lontaranTunku Abdul Rahman Putra Al-Haj itu maka Tanah Melayu, Sarawak dan Borneo Utara mengadakan rundingan bersama dengan kerajaan British pada 20-22 November 1961. Hasil daripada rundingan tersebut maka tertubuhnya Suruhanjaya Cobbold yang ditubuhkan pada 17 Januari 1962 bagi melaksanakan kaji selidik dan pendapatkan pungutan suara penduduk negeri terbabit mengenai cadangan pembentukan Malaysia.

Mengikut portal rasmi Arkib Negara, pembentukan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962 adalah bagi memberi kebebasan dan keadilan kepada semua pihak. Suruhanjaya Cobbold di anggotai oleh Lord Cameron Cobbold sebagai Ketua Suruhanjaya Cobbold. Lord Cobbold merupakan bekas Gabenor Bank England ketika itu. Selain itu, Suruhanjaya Cobbold juga turut di anggotai oleh Tan Sri Wong Pow Nee, Ketua Menteri Pulau Pinang, Tun Mohd Ghazali Shafie,Setiausaha Tetap Kementerian Luar Negeri, Anthony Abell, Bekas Gabenor Sarawak dan David Watherston, Bekas Setiausaha Utama Malaya.

Ahli-ahli suruhanjaya Cobbold telah melakukan lawatan ke 35 buah tempat di sekitar Borneo Utara dan Sarawak bermula 19 Februari sehingga 18 April 1962. Kawasan yang dilawati termasuk Kawasan pedalaman yang melibatkan 50 perjumpaan dengan di anggarkan sejumlah 4000 orang.

Selain itu, Suruhanjaya Cobbold juga telah dilaporkan menerima sejumlah 2,200 memorandum daripada pelbagai persatuan, parti politik, pertubuhan keagamaan, kemasyarakatan dan kesatuan sekerja, dewan-dewan perdagangan, ketua-ketua kaum, orang-orang kenamaan serta individu daripada kedua negeri iaitu Borneo Utara dan Sarawak.

Hasil penyelidikan dan pungutan suara yang dilakukan, dapatan Suruhanjaya ini menyaksikan 80 peratus responden bersetuju untuk pembentukan Persekutuan Malaysia. Hasil dapatan tersebut dibentangkan kepada kerajaan British pada 21 Jun 1962 dan seterusnya membawa kepada rundingan antara Tunku Abdul Rahman dan Perdana Menteri Britain ketika itu iaitu Harold Macmillan di London.

Tarikh 31 Ogos 1963 dipilih untuk mengisytiharkan negara baru yang bernama Malaysia. Namun begitu hajat memilih tarikh tersebut tidak kesampaian apabila pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ingin mengadakan analisis semula untuk mendapatkan pandangan lanjut rakyat Borneo Utara dan Sarawak.

Akhirnya pada 14 September 1963, PBB telah mengeluarkan laporan pengesahan bahawa majoriti rakyat Borneo Utara dan Sarawak bersetuju membentuk sebuah negara persekutuan bersama Tanah Melayu yang dikenali sebagai Malaysia.

Pada 16 September 1963, pengisytiharan pembentukan persekutuan Malaysia dan Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman membacakan Pemasyhuran Malaysia di Stadium Merdeka pada pagi 16 September 1963.

Walaupun sudah 58 tahun peristiwa itu berlalu, Negara Malaysia yang dianggotai 13 buah negeri ini terus kukuh dalam menerajui negara dalam arus pembangunan moden. Walaupun terdapat banyak bentuk cabaran dan ujian yang dihadapi termasuk ugutan kecil daripada beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memastikan Sabah dan Sarawak keluar semula daripada muafakan ini.

Selain itu, terdapat beberapa sentimen yang cuba digerakkan untuk memecahkan Persekutuan Malaysia antaranya sentimen “Sarawak untuk Orang Sarawak” dan “Sabah untuk Orang Sabah” (S4S) oleh pihak tertentu. Bahkah antara sentimen yang digerakkan adalah Sabah, Sarawak Keluar Malaysia (SSKM), gerakan ini bahaya kerana akan mengugat perpaduan yang telah dibina sejak 58 tahun antara semua negeri yang ada di bawah Persekutuan Malaysia.

Namun begitu cabaran dan dogma ini berjaya dihakis dengan perpaduan yang utuh dalam kalangan semua pihak. Wacana dan naratif yang betul dan waras mengenai sejarah pembentukan Malaysia amat perlu disemai supaya sentimen negatif tidak terus bersemarak dan akhirnya melemahkan sistem persekutuan dan kedaulatan negara.

Semua pihak terutamanya pihak pemain politik sama ada mewakili kerajaan ataupun pembangkang perlu terus memperkuatkan perpaduan dan menyisihkan kepentingan parti dengan mendengar suara rakyat termasuk di Sabah dan Sarawak. Roh perpaduan sewaktu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dibangkitkan semula dalam menangani krisis semasa negara.