Home Berita PAS Perlis

Karnival Rakyat Guar Sanji saji acara menarik

128
SHARE

Oleh NUR ‘IFFAH

ARAU, 21 Feb: Karnival Rakyat DUN Guar Sanji yang akan berlangsung pada 5 Mac nanti bakal menyajikan pelbagai acara menarik.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim, antara acara menarik yang telah disusun adalah pencarian kerjaya bersama PERKESO, rawatan tulang belakang bersama GERAGEM, Jualan Rakyat serta perkhidmatan tukar minyak hitam percuma untuk 40 orang pengunjung terawal.

“Turut diadakan nanti, Pertandingan Master Chef anjuran Ameerah Kawasan Arau dan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak berusia antara 4 hingga 7 tahun.

“Selain itu, para pengunjung juga berpeluang membawa hadiah menarik yang ditawarkan menerusi acara cabutan bertuah,” katanya ketika dihubungi di sini.

Tambahnya, mereka yang ingin membuat pemeriksaan kesihatan atau menderma darah juga boleh berbuat demikian di kaunter yang disediakan oleh Hospital Tuanku Fauziah (HTF) pada hari tersebut.

“Seluruh rakyat Perlis dijemput turun beramai-ramai ke karnival yang akan diadakan di Markaz Kampung Semut Gatal nanti,” katanya.