Home Berita PAS Perak

Karnival Kekal Hijau Perak: 10 aktiviti menarik

184
SHARE

Oleh: Hafiz Green Mart

LUMUT, 14 OGOS : 10 aktiviti menarik telah disediakan khas kepada para pengunjung yang hadir ke Karnival Kekal Hijau Perak Sejahtera 2022 di Marina Island Hall, di sini, pada hari ini.

Karnival anjuran Jabatan Pilihanraya PAS Kawasan Lumut serta Lajnah Penerangan dan Media Baharu (LPMB) PAS Kawasan Lumut dengan kerjasama PAS Perak telah diadakan bermula jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengahari.

Pengarah karnival, Ahmad Kamarulnizam Majid berkata, antara aktiviti menarik yang disediakan kepada para pengunjung adalah Jamuan Rakyat Untuk Semua.

“Jamuan secara percuma itu disediakan untuk semua pengunjung yang hadir bermula jam 12.00 tengahari setelah selesai majlis tahlil yang dikelolai oleh Dewan Ulama PAS Lumut, Ust Abu Bakar bin Omar.

“Antara aktiviti lain adalah, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak tadika dan tahap satu sekolah rendah, Pertandingan Gubahan Pulut Kuning Berlauk, Belajar Memanah secara percuma oleh Qamar Archery Muhammad Nizar bin Majid dan Pertandingan Sepakan Penalti oleh Alumni At-Taalim,” jelasnya.

Selain itu, pengunjung turut disajikan halwa telinga persembahan Buskers Band Brothers Solah (2BS) dari Teluk Intan, Pertunjukkan Seni Silat, Derma Darah dan anak-anak berpeluang menaiki motor superbike ARC Perak mengelilingi kawasan Marina Island.

“Semua acara ini telah diadakan secara serentak di dalam Dewan Marina Island Hall dan sekitarnya,” katanya kepada wartawan rakyat hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Perak, Ustaz Mohd Fakhrudin bin Abdul Aziz, Yang Dipertua PAS Lumut, Hj. Rosli Abd Rahman dan kepimpinan PAS Negeri Perak dan Kawasan Lumut.