Home Berita Dewan Ulamak PAS Pusat

Karikatur Penghinaan Ke Atas Rasulullah SAW :Pemimpin Negara Perlu Tegas

1826
SHARE

KARIKATUR PENGHINAAN KE ATAS RASULULLAH SAW : PEMIMPIN NEGARA PERLU BERTEGAS

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2233007210097448&id=112140085517515

1. Isu penghinaan ke atas Rasulullah SAW menerusi karikatur yang mempersendakan perkahwinan Baginda SAW dengan Sayidatina Aisyah yang berusia muda adalah satu tindakan yang sangat melampaui batasan. Perbuatan Foo Sing Wai menerusi karikatur tersebut mesti diambil tindakan tegas. Secara jelas, perbuatan tersebut tidak menghormati sensitiviti agama Islam yang merupakan agama Persekutuan serta mengguris perasaan lebih 17 juta penganut agama Islam yang merupakan majoriti rakyat di Malaysia.

2. Malah, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) pada tahun 2018 memutuskan bahawa adalah menjadi satu kesalahan berat memfitnah Nabi Muhammad SAW. Ia merujuk kepada kes di negara Austria apabila seorang wanita berusia lewat 40-an yang hanya dikenali sebagai ES membuat dakwaan dalam dua seminar awam pada tahun 2009 bahawa perkahwinan Nabi Muhammad SAW dengan Siti Aishah sebagai perbuatan fidofilia. – rujuk : (https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/dunia/eropah/2018/10/491176/hina-nabi-muhammad-bukan-kebebasan-bersuara/amp)

3. Negara Malaysia yang dipimpin oleh pemimpin beragama Islam serta wujud jawatan khas yang menjaga hal ehwal Islam digesa mengeluarkan segera kenyataan tegas dalam hal ini. Selain itu, tindakan tegas mesti diambil. Ini kerana karikatur menghina Rasulullah SAW bukanlah isu baru dan pertama kali. Ia bagaikan suatu rancangan yang disengajakan dan mempunyai rangkaian luar dan dalam negara. Banyak kali karikatur berunsur penghinaan ini dilontar ke dalam dunia Islam bagi mengundang kemarahan umat Islam. Mempertahankan Rasulullah SAW adalah termasuk daripada bahagian mencintai Baginda SAW yang mempunyai kaitan dengan keimanan seseorang. Sabda Baginda SAW dalam sebuah hadith:

ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Maksudnya: “Tiga perkara di mana sesiapa mempunyainya, maka dia akan merasai kemanisan iman: seseorang yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya sebagai yang paling dicintainya, tidak mencintai seseorang melainkan kerana Allah dan membenci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia tidak suka untuk dicampakkan ke dalam neraka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa agar pihak kerajaan Malaysia mengeluarkan kenyataan amaran segera serta mengambil tindakan yang tegas terhadap pemilik akaun Facebook yang bernama Foo Sing Wai. Ini jelas apabila karikatur penghinaan Rasulullah SAW adalah satu tindakan yang sangat biadap tanpa boleh dimaafkan. Tindakan penghina tersebut juga hakikatnya tidak menghormati Perlembagaan dan ruang demokrasi apabila mengundang kemarahan majoriti rakyat daripada kalangan penganut Islam. Malah, di peringkat antarabanga sekalipun ia tidak diterima sebagai kebebasan bersuara kerana melampaui batasan kemanusiaan. Awas! Pemimpin Islam dalam kerajaan PH, anda sedang diperhatikan oleh rakyat kalangan penganut Islam khususnya sama ada anda mampu menjaga kesucian agama Islam atau sebaliknya.

MOHD ASRI BIN MAT DAUD
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat