Home Artikel PAS Sabah

Kanak-kanak asnaf ditaja sertai Sunathon Perdana

187
SHARE

Oleh : Suziana Ghani
12 Disember 2019

KALABAKAN : Seramai 50 orang kanak-kanak dari golongan asnaf telah ditaja dalam program Sunathon Perdana yang diadakan di Surau Nurul Huda, Kampung Airport Lama, Tawau pada Isnin baru-baru ini.

Program berkhatan beramai-ramai ini merupakan anjuran bersama Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kalabakan, Medicom Malaysia dan Surau Nurul Huda.

Menurut Pengarah Program, Haris Abdurachim, pihak mereka menerima tajaan daripada sumbangan orang ramai dan pihak tertentu bagi menyempurkan majlis berkenaan.

Katanya, program ini dilaksanakan bagi membantu asnaf yang kurang berkemampuan agar mereka dapat menyempurnakan sebahagian tuntutan agama.

“Program ini akan menjadi acara tahunan JAM dan akan diperbanyakkan di kawasan ini disamping antara usaha JAM untuk mendekatkan diri dengan masyarakat,” tambah Haris yang juga merupakan Timbalan Pengarah JAM Negeri Sabah.

Sebelum acara bermula, para peserta diraikan dengan paluan kompang dan semburan air bagi menambahkan kemeriahan majlis.

Turut hadir membantu ialah Bendahari JAM Kalabakan, Wan Aqmal Riduan serta beberapa Ahli Jawatankuasa JAM Kalabakan.