Home Berita PAS Melaka

Kalam murabbi : Peringkat amal Islami

880
SHARE

Bismillah…

PERKONGSIAN pada kali ini adalah berkaitan peringkat Amal Islami. Bagi memudahkan kerja-kerja Islam samada secara jamaie, ijtimaie atau fardi, maka dikelaskan sasaran kerja kepada beberapa peringkat.

A) Menjadi individu Muslim

10 sifat yang mesti dibentuk melalui proses tarbiah:-

1) Akidah yang sejahtera
2) Ibadah yang betul
3) Akhlak yang mulia
4) Jasmani yang kuat
5) Berilmu pengetahuan
6) Disiplin terhadap masa
7) Mampu berdikari
8) Komited dan bersungguh
9) Sistematik dalam gerak kerja
10) Bermanfaat untuk orang lain

B) Membina Baitul Muslim (Keluarga)

Bermula dengan memberi kefahaman kepada ibubapa dan adik-beradik tentang Islam dan tuntutannya.

Manakala dalam memilih pasangan hidup, perlu mencari pasangan yang sanggup hidup dalam perjuangan Islam serta memperbaiki diri mengikut kehendak Islam. Kemudian mendidik anak-anak menjadi soleh dan solehah.

C) Membentuk mujtama’ Islamiah (Masyarakat yang kenal Islam)

Di dalam sebuah usrah, gerak kerja memahamkan sekeliling tentang Islam perlu diatur supaya masyarakat dapat menerima Islam sebagai cara hidup. Di samping itu, gerak kerja mencegah perkara mungkar perlu dilakukan dalam masyarakat agar terpelihara daripada kerosakan setakat yang mampu.

Firman Allah SWT:-

وَأَنذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ

“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.”

Surah Al-Shua’ra: 214

D) Memerdekakan tanah air

Sekiranya kita masih berada di bawah kuasa penjajah, maka membebaskan diri daripada penjajah wajiblah dilakukan terlebih dahulu. Ini kerana penjajah dikira sebagai orang merampas hak kita sebagai rakyat. Maka menuntut kembali adalah suatu kewajipan dan berjuang untuk membebaskan tanah air juga dikira sebagai jihad di jalan Allah.

E) Mendirikan daulah Islamiah (Negara yang mengamalkan sistem Islam)

Daripada masyarakat yang faham tuntutan Islam, kita akan mendapat sokongan untuk membentuk sebuah kuasa untuk melaksanakan syariat Islam secara menyeluruh yang tidak dapat dilakukan tanpa kuasa politik.

F) Mendirikan Khilafah Islamiah (Islam sebagai sebuah empayar)

Iaitu menggabungjalinkan hubungan antara beberapa buah negara Islam yang berdaulat supaya bernaung di bawah satu kesatuan dengan dilantik seseorang menjadi KHALIFAH seperti yang berlaku di zaman lampau.

Setelah negara Madinah stabil daripada ancaman musuh pasca genjatan senjata Sulhul Hudaibiyyah, Rasulullah mula melakukan projek melebar luaskan agama Islam ke luar tanah Arab. Dihantar surat-surat ke kerajaan sekitar supaya mereka menerima Islam sebagai undang-undang yang menjaga keharmonian negara tersebut, ataupun membenarkan Islam bebas disebar dalam negaranya.

Akhirnya ada negara yang berjaya diperintah oleh Islam dan Rasulullah menghantar gabenor untuk mentadbir negara terbabit. Walaupun negara tersebut menguruskan pentadbiran masing-masing, tapi ia tetap tunduk di bawah satu KHALIFAH dan berterusan sesudah kewafatan baginda.

G) Menyebarkan Islam ke seluruh dunia

Kerja-kerja Islam tidak terhenti setakat memegang tampuk kekuasaan sahaja. Malah tugas khilafah adalah adalah untuk memastikan bumi ini ditadbir sebaik mungkin dengan ajaran Islam, dan menjadikan seluruh isinya memahami dan hidup dengan cara Islam yang sebenarnya.

Justeru itu, marilah sama-sama kita memahami dengan jelas peringkat Amal Islami seterusnya bersatu padu dalam melaksanakannya agar Islam akan memimpin negara ini khususnya dan seluruh dunia umumnya.

Pesanan bersama, patuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak atasan khususnya KKM.

Kita Jaga Kita!

Rujukan: Nadi Perjuangan (Bil.8)

USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
• Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Negeri Melaka
• Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka
• YDP PAS Kawasan Masjid Tanah

Kredit sumber : Facebook Dewan Ulamak PAS Melaka


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)