Home Berita PAS Melaka

Kalam murabbi (DUPNM) : Erti thabat

2297
SHARE

بسم الله الرحمن الرحيم

Apakah yang dimaksudkan dengan thabat?

THABAT adalah rukun ketujuh daripada rukun baiah yang disusun Imam Hassan Al Banna. Ia bermaksud tetap dan teguh di atas jalan dakwah dan membawa kepada makna istiqamah. Keduanya menuntut supaya umat Islam tetap mara menuju cita-cita yang diimpikan walaupun berdepan dengan berbagai-bagai halangan.

Firman Allah dalam Surah Al-Anfal ayat 45,

يٰۤاَيُّهَا الَّذِيۡنَ اٰمَنُوۡۤا اِذَا لَقِيۡتُمۡ فِئَةً فَاثۡبُتُوۡا وَاذۡكُرُوا اللّٰهَ كَثِيۡرًا لَّعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُوۡنَ‌ۚ‏

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).

Dan firman Allah Surah Hud ayat 112,

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

“Maka istiqamahlah kamu (Muhammad) di jalan yang benar, sebagaimana telah diperintahkan kepadamu dan juga kepada orang yang bertaubat bersamamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sungguh, Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

Selepas mentaati pimpinan, umat Islam akan terus diuji ketahanan mereka, adakah mereka mampu menurut segala disiplin dalam jemaah Islam. Di sinilah kepentingan thabat akan terserlah. Seseorang yang tidak dididik dengan daya tahan yang kuat akan mudah goyah, cemas dan akhirnya akan tergelincir daripada bahtera perjuangan ini.

Untuk membentuk sikap teguh ini, umat Islam perlu terlebih dahulu memahami hakikat perjuangan Islam. Sesungguhnya perjuangan ini tabiatnya:

1) Tempoh yang panjang

Kalam Allah dalam Surah At-Taubah ayat 42;

لَوۡ كَانَ عَرَضٗا قَرِيبٗا وَسَفَرٗا قَاصِدٗا لَّٱتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنۢ بَعُدَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلشُّقَّةُۚ وَسَيَحۡلِفُونَ بِٱللَّهِ لَوِ ٱسۡتَطَعۡنَا لَخَرَجۡنَا مَعَكُمۡ يُهۡلِكُونَ أَنفُسَهُمۡ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ إِنَّهُمۡ لَكَٰذِبُونَ

Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: “Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu”. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).

Perjuangan Islam merupakan perjuangan yang memerlukan kesabaran serta pengorbanan yang tinggi. Ia disambung zaman berzaman bermula zaman Nabi sehingga hari kiamat. Pejuang Islam harus menempuhi ujian, kesulitan dan kepayahan bagi mencapai kemenangan. Hakikatnya kemenangan itu hanya Allah yang menentukan dan ia perlu melalui tempoh yang panjang.

2) Penuh cabaran

Firman Allah dalam Surah Al Baqarah ayat 214,

اَمْ حَسِبْتُمْ اَنْ تَدْخُلُوا الْجَـنَّةَ وَ لَمَّا يَأْتِكُمْ مَّثَلُ الَّذِيْنَ خَلَوْا مِنْ قَبْلِكُمْ ۗ مَسَّتْهُمُ الْبَأْسَآءُ وَا لضَّرَّآءُ وَزُلْزِلُوْا حَتّٰى يَقُوْلَ الرَّسُوْلُ وَا لَّذِيْنَ اٰمَنُوْا مَعَهٗ مَتٰى نَصْرُ اللّٰهِ ۗ اَ لَاۤ اِنَّ نَصْرَ اللّٰهِ قَرِيْبٌ

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).”

Perjuangan tidak dihampar dengan karpet merah, tidak beroleh sanjungan dan tidak dijanjikan kemewahan. Oleh itu, persiapkanlah diri menerima segala keperitan kerana ganjaran sebenar sedang menanti di akhirat sana.

3) Musuh tidak berhenti menyerang.

Firman Allah Surah Al Baqarah ayat 217,

(وَلَا یَزَالُونَ یُقَـٰتِلُونَكُمۡ حَتَّىٰ یَرُدُّوكُمۡ عَن دِینِكُمۡ إِنِ ٱسۡتَطَـٰعُوا۟ۚ)

“Dan mereka (orang-orang kafir itu) terus menerus memerangi kamu hingga mereka dapat memurtadkan kamu daripada agama kamu kalau mereka mampu melakukan demikian itu “.
[Surah al-Baqarah: ayat 217]

Musuh Islam datang dari berbagai-bagai arah. Musuh akan terus wujud selagi wujudnya umat Islam di dunia ini. Oleh itu, kita harus mengenalpasti semua mereka dan sedia berhadapan dengan mereka pada bila-bila masa. Kita tidak boleh berehat atau mengelak kerana musuh akan terus menyerang.

4) Menguji setiap nikmat yang dimiliki

Firman Allah dalam Surah Muhammad ayat 31,

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّىٰ نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ

Maksudnya : “Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu”.

5) Kejayaan bergantung kepada pertolongan dan izin Allah.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 160 bermaksud,

“Sekiranya Allah menolong kamu (memenangkan kamu), maka tidak ada orang yang akan mengalahkan kamu. Dan sekiranya Allah tidak mengendahkan kamu (tidak memberi pertolongan) siapakah yang dapat menolong kamu sesudah itu? Dan hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang Mukmin bertawakkal”.

Berjuanglah mengikut cara Allah SWT. Mohon sentiasa kemenangan yang diredaiNya. Jangan sesekali mengambil pendekatan yang bercanggah dengan Islam kerana ia hanyalah kerja yang sia-sia.

Cara thabat

1) Mendekatkan diri kepada Allah

2) Tadabbur Al Quran

3) Banyakkan ketaatan dan jauhkan maksiat

4) Sentiasa mengingati Allah SWT

5) Mendekatkan diri kepada Ulama, Amilin dan saudara seperjuangan

6) Sabar

Sikap orang yang tewas dalam perjuangan

1) Gopoh

-Mahukan perjuangan menang dalam masa yang singkat

2) Beribadat di tepi

-Mahu berjuang dalam keadaan selesa. Apabila timbul kecelaruan, mereka bosan dan meninggalkan perjuangan ini.

3) Tewas dalam kemenangan

– Ada yang mampu menghadapi kesusahan, tetapi apabila datang kesenangan, mereka lupa diri dan hanyut dalam kemenangan

Kesimpulannya, sebagai pejuang Islam, tetaplah thabat dan istiqamah hingga ke akhirnya dalam menyampaikan dakwah serta berjuang menegakkan Islam.

Moga bermanfaat!

USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka
• Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka
• Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah

Kredit sumber : Facebook Dewan Ulamak PAS Melaka