Home Berita PAS Kedah

JPKK diharap menjadi mata dan telinga kerajaan

302
SHARE

Oleh AMAL NABILA

ALOR SETAR, 24 Nov – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) adalah barisan hadapan pihak kerajaan negeri dalam membantu memajukan pembangunan kawasan luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Pembangunan Insan dan Kesejahteraan Masyarakat, YB Dato’ Hjh Siti Ashah Hj Ghazali di dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 berkata, kerajaan negeri terus komited dalam memperkasakan peranan JPKK dari segi pengurusan dan kewangan.

“Pada tahun 2021 terdapat peruntukan kepada JPKK, tetapi disebabkan pandemik Covid-19 ini, peruntukan itu tidak dapat diberikan kerana sebarang program tidak dapat dilaksanakan. Jadi, pada tahun 2022 ini, peruntukan kepada JPKK disediakan dan akan mula disalurkan pada Januari 2022 untuk aktiviti kegiatan JPKK di komuniti masing-masing.”

“Besar harapan kerajaan supaya JPKK sentiasa menjadi mata dan telinga kerajaan supaya tiada masalah kesusahan rakyat yang tertinggal. Dekatnya hubungan mereka dengan penduduk desa amat memudahkan penyaluran maklumat dari rakyat untuk pihak kerajaan mengambil tindakan.”

Dalam bajet 2022 ini, pihak Kerajaan Negeri Kedah turut menyediakan peruntukan RM50 ribu kepada setiap DUN bagi melaksanakan pembaikan-pembaikan kecil di bawah Program Desa Sejahtera.

“Pada Bajet 2022, kerajaan telah memperuntukkan RM50 ribu kepada setiap DUN di bawah Program Desa Sejahtera. Saya yakin peranan ini yang dapat dimainkan oleh JPKK supaya rakyat di peringkat DUN tidak tertinggal untuk mendapat apa-apa bantuan daripada kerajaan.”

“Kita juga percaya bahawa JPKK sentiasa mengambil berat terhadap infrastruktur asas di komuniti masing-masing. Besar harapan kerajaan supaya JPKK boleh turut turun padang dan mencadangkan pembaikan mana-mana kemudahan asas yang telah rosak seperti mini tar, titi, dewan orang ramai dan apa-apa keperluan asas kepada rakyat.”