Home Berita PAS Melaka

Jom menulis rencana! Siri 1: Mula menulis rencana.

1165
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

SIAPA tak kenal dengan Almarhum Pak Subky Latif? Seorang penulis hebat yang dikagumi oleh para penulis dan pembaca. Bila bercakap tentang Almarhum Pak Subky tidak ada siapa yang dapat menafikan gaya penulisan Almarhum memang hebat, lain dari yang lain dan diminati ramai orang.

Almarhum Pak Subky adalah bekas wartawan kanan yang lama berkhidmat dengan Utusan Malaysia dan kemudiannya bersama-sama membentuk akhbar rasmi PAS iaitu Harakah.

Ramai penulis bercita-cita untuk menulis rencana dengan baik seperti Almarhum Pak Subky menulis rencana. Namun Almarhum Pak Subky tiada galang gantinya. Memang kehebatan beliau dalam penulisan terutama penulisan rencana diakui banyak pihak dan sukar ditandingi.

Mungkin ada juga yang tertanya-tanya rencana itu macam mana? Apa beza rencana dan artikel?

Rencana adalah penulisan di akhbar atau media yang biasa orang panggil sebagai ‘artikel’. Di kalangan orang akhbar mereka lebih biasa memanggil penulisan yang orang panggil ‘artikel’ itu sebagai ‘rencana’.

Di dalam akhbar biasanya akan ada dua jenis penulisan utama. Yang pertama ialah berita yang ditulis oleh wartawan yang melaporkan sesuatu peristiwa atau kejadian. Yang kedua ialah rencana iaitu esei yang ditulis oleh seseorang wartawan atau penulis tentang sesuatu perkara atau isu.

Rencana ini biasanya mengandungi maklumat, analisa, pendapat, cadangan, pandangan yang dicanai dan dijana oleh seseorang penulis untuk disampaikan kepada pembaca.

Biasanya jika di dalam akhbar untuk membezakan antara berita dan rencana ialah berita biasanya dimulakan dengan ‘baris tempat’ (placeline) contohnya ‘Kuala Lumpur’, ‘Melaka’, ‘Putrajaya’ dan sebagainya. Tetapi dalam penulisan rencana tidak ada ‘baris tempat’ seperti berita.

Dalam penulisan berita seseorang wartawan tidak boleh memberikan pandangan peribadinya terhadap sesuatu bahan yang ditulisnya. Namun bagi penulisan rencana pula ia memang bersifat pandangan atau pendapat peribadi yang ingin disampaikan oleh seseorang penulis kepada pembaca tentang sesuatu perkara.

Menulis rencana adalah satu cara untuk seseorang itu menyampaikan sesuatu mesej, idea, pandangan atau cadangan kepada orang ramai. Pembaca pula akan menilai saranan atau informasi yang ditulis oleh seseorang penulis rencana itu.

Insya-Allah, dalam siri ‘Jom Menulis Rencana!’ yang seterusnya pada masa akan datang saya akan berkongsi sedikit pengalaman saya dalam menulis rencana untuk membantu anda menjadi seorang penulis rencana.

Saya akan kongsikan lagi tentang teknik penulisan rencana ini terutama untuk mereka yang belum pernah menulis rencana. Bukan untuk mengajar, sekadar berkongsi secebis pengetahuan dan pengalaman saya dalam bidang ini.

Itu sahaja sebagai pengenalan dari saya. Semoga dengan itu akan lahir lebih ramai penulis-penulis rencana baharu pada masa akan datang.

Penulis adalah Editor Berita PAS Lajnah Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah Melaka


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)