Home Berita PAS Johor

Johor sedia benarkan solat rapat saf

45
SHARE

ISKANDAR PUTERI, 25 Nov : Johor sudah bersedia untuk membenarkan jemaah merapatkan saf ketika solat berjemaah di masjid dan surau di negeri ini seperti sedia kala dan tidak lagi perlu melakukan penjarakan fizikal.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, cadangan itu akan dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bagi mendapatkan perkenan Baginda pada minggu depan.

 

Beliau berkata, satu mesyuarat bersama Jawatankuasa Dakwah Negeri Johor dan Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Negeri Johor akan diadakan bagi melengkapkan kertas cadangan tersebut sebelum dipersembahkan kepada Sultan Ibrahim.

Tambahnya, ramai yang bertanyakan kepada pihaknya bila solat jemaah di masjid dan surau di negeri ini dapat kembali seperti dahulu sebelum penularan Covid-19 setelah Johor memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Oleh itu, kita akan perincikan kertas cadangan prosedur operasi standard (SOP) baharu solat jemaah di masjid dan surau pada minggu depan sebelum dipersembahkan kepada Tuanku.

“Dua cadangan yang akan diketengahkan dalam kertas cadangan itu ialah solat jemaah dengan kapasiti penuh masjid/surau tanpa penjarakan sosial dan solat jemaah dengan kapasiti penuh dengan penjarakan sosial.

“InshaAllah, diharap tatacara SOP baharu solat berjemaah di masjid dan surau di negeri ini tanpa penjarakan fizikal akan diperkenalkan pada awal Januari depan setelah diperkenan Sultan Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di sini hari ini.

Tosrin memberitahu, pihaknya juga akan mendapatkan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mempersembahkan cadangan berkenaan kepada Sultan Ibrahim.-

Sumber Berita : KOSMO ONLINE