KANGAR, 21 Mei 2017 – Jabatan IT PAS Negeri Perlis (JITN) dengan kerjasama Jabatan IT PAS Pusat (JITP) telah menganjurkan Jelajah Rangsangan IT (JerIT) pada 21 Mei 2017, bertempat di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS).
Program yang berbentuk seminar pengurusan IT serta media baru dan multimedia ini telah dihadiri seramai 60 orang petugas yang terlibat dengan gerak kerja pilihan raya, IT dan penerangan di negeri Perlis.
JerIT telah dirasmikan oleh Y.B. Cikgu Mohd Shukri Ramli, Pesuruhjaya PAS Perlis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.
Slot pertama bertajuk ‘Kesedaran terhadap kepentingan data raya ke arah menjana kemenangan pru ke 14’ telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan IT Pusat, Saudara Wan Asrul Effendi Mohamad. Beliau memfokuskan penerangan dari aspek kepentingan pengurusan data raya serta manfaatnya kepada gerak kerja pilihanraya,
Beliau turut menekankan peri pentingnya mewujudkan pasukan kerja ICT yang mahir selain pengemaskinian jentera dan prasarana ICT khususnya bagi menghadapi pilihanraya umum nanti.
Tn. Hj. Mohd. Nasri b. Mohd. Zaid pula dalam slot bertajuk ‘Penggunaan Aplikasi dan Data’, telah menggariskan beberapa tindakan strategik yang mesti difahami dan dilaksanakan oleh para petugas selain penekanan terhadap aspek keselamatan data.
Turut menjayakan seminar ini ialah Cik Azlina Ahmad dan Cik Hadijah Hassan yang mengisi slot bengkel berkaitan penulisan dan penggunaan media baru dan multimedia.
Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Cikgu Wan Hassan Wan Ismail, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis yang juga Pengarah Jentera Pilihanraya PAS Perlis.
{jathumbnail off}