Home Berita PAS Perak

Jentera pilihan raya PAS Bagan Serai bersedia

119
SHARE

Oleh: Aida Dania

BAGAN SERAI, 1 Ogos: Pelancaran Jentera Pilihan Raya P058 Bagan Serai telah diadakan di Dewan Wahab Nor, Masjid Tinggi, Bagan Serai, semalam.

Majlis pelancaran yang telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor ini dibuat sebagai persediaan kepada jentera PAS Bagan Serai untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 yang dijangka berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Tambahan pula, kerusi parlimen Bagan Serai merupakan kerusi panas dan juga kubu kuat PAS khususnya di Perak.

Dalam ucapan perasmian itu beliau berkata, setiap ahli mesti patuh dengan kepimpinan parti apabila keputusan telah dibuat.

“Ahli PAS juga perlu sentiasa membawa agenda penyatuan ummah dan berusaha supaya Pakatan Harapan tidak memerintah negara kembali.

“Sebagai ahli PAS mestilah mempromosikan PAS kepada masyarakat umum melalui nilai integriti dan ketelusan yang ditonjolkan pimpinan PAS sebagai menteri serta kerajaan negeri,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Kedah.

Tambahnya lagi pengundi kali pertama dan juga undi 18 sangat memainkan peranan penting dalam PRU-15 nanti.

“Hal ini kerana berlaku peningkatan undi dalam kalangan belia sejak Undi 18 dan daftar pemilih secara automatik diperkenalkan.

“Ia termasuklah menyantuni golongan muda, meraikan minat mereka dan menyampaikan mesej yang baik kepada anak muda tentang PAS,” katanya.

Antara tetamu jemputan yang turut hadir dalam majlis pelancaran malam tadi ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Tuan Haji Razman Zakaria, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Perak, Ustaz Ahmad Fakhrudin Abd Aziz dan Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Majlis malam tadi berlangsung dengan begitu meriah dan kira-kira seramai 500 orang hadir membanjiri perkarangan dewan.