Oleh IDAYU HASHIM
ROMPIN, 19 Ogos : Lebih 300 penggerak jentera parti dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan BERSATU dalam Parlimen Rompin telah hadir menyemarakkan Himpunan Perikatan Nasional malam tadi.
Himpunan tersebut telah diadakan di Dewan Semai Bakti, Keratong 5.
Majlis itu telah diserikan dengan kehadiran Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau memuji PAS dalam menjaga integriti kerana tidak ada satu pimpinan dalam PAS yang mempunyai rekod penglibatan dengan rasuah.
Menurutnya lagi, sikap ini harus menjadi contoh dan teladan sebagai seorang pemimpin yang baik pada masa akan datang.
Majlis tersebut turut dihadiri Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin, Ustaz Nazri Ahmad.
Dalam ucapan aluannya, Nazri menyatakan kerjasama yang erat dan persefahaman amat penting bagi mencapai matlamat dan kemenangan.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan pemberian beberapa hadiah cabutan bertuah.