Home Melaka

Modul kualiti haraki | Yang terpilih dan yang tidak terpilih dalam perjuangan

99
SHARE

Oleh IBNU JANIE

DALAM peperangan Badar seramai 313 orang terlibat dalam pasukan tentera Islam. Daripada ramai-ramai orang Islam yang ada pada masa itu, hanya 313 terpilih. Antara yang tidak terpilih adalah kerana tidak cukup umur dan tidak memenuhi beberapa syarat lagi.

Mereka yang terlibat dengan Perang Badar juga dikenali sebagai Ahli Badar, umpama satu alumni dan penghormatan untuk mereka ini. Beruntungnya 313 orang yang terpilih itu. Hakikatnya itu semua pilihan Allah SWT.

Perjuangan PAS adalah perjuangan Islam yang sifatnya penuh ranjau dan onak duri. Kerana itu bukan mudah untuk mendapatkan amilin yang benar-benar komited untuk melakukan tugas sukarela yang bukan sahaja tidak menerima laba kewangan, malah duduk dalam tekanan.

PERJUANGAN… (Gambar hiasan)

Penulis berpengalaman terlibat dalam PAS semenjak kecil lagi mengikuti Allahyarham ayahanda penulis sehinggalah sekarang. Penulis melihat ada yang terpilih memenangi jawatan parti dalam pemilihan, namun berakhir dengan ‘ghaib’ dan tidak hadir-hadir ke mesyuarat.

 

Rencana ini juga disiarkan di ruangan Komen Editor Harakah cetak Edisi Jumaat – 19-21 Ogos 2022

 

Ironinya, dalam masa yang sama ada pula yang sangat rajin dan komited dengan aktiviti parti tetapi tidak pernah tercalon atau memenangi jawatan dalam pemilihan.

Ini membuktikan bahawa bukan semua yang dipilih oleh perwakilan atau pimpinan itu adalah juga pilihan Allah SWT. Ada orang yang Allah SWT pilih untuk menjadi amilin walau pun tiada jawatan. Dan ada yang Allah SWT tidak pilih mereka untuk bekerja membantu PAS walau pun mereka terpilih memegang jawatan.

Ada orang yang gembira apabila nama mereka terpilih untuk menjadi ahli jawatankuasa sesuatu program. Ada orang marah apabila nama mereka dimasukkan kerana mereka tidak mahu terlibat dengan aktiviti yang menambah beban kerja mereka.

MENGHADIRI MESYUARAT AGUNG… (Gambar hiasan)

Sesetengah kita memang suka menolak-nolak tugas kerana kita tidak nampak balasan besar yang bakal kita terima daripada Allah SWT di akhirat nanti. Jika kita boleh melihatnya sekarang mungkin kita sanggup ‘bertumbuk’ agar dipilih untuk menjadi AJK dalam aktiviti parti bukan kerana jawatan, tetapi kerana mengejar ganjaran Allah SWT.

Sewajarnya seseorang amilin PAS itu melakukan yang terbaik setelah ditaklifkan dengan apa-apa jawatan dalam parti samada dipilih dalam pemilihan atau pun dilantik oleh pimpinan. Walau pun ianya kerja sukarela, namun ia sepatutnya dilakukan dengan penglibatan seoptimum yang mampu.

Optimum bukan bermaksud mengabaikan kerja hakiki untuk melakukan tugas parti. Optimum bermaksud melakukan yang terbaik dengan masa terluang yang ada selain daripada masa kerja hakiki seseorang itu.

Selain masa bekerja seseorang itu, ia adalah masa peribadinya yang perlu dibahagi-bahagikan antara waktu menjalankan tanggungjawab terhadap diri dan keluarga; waktu rehat dan untuk melakukan tugas-tugas kemasyarakatan dan parti.

Ada orang yang memperuntukan hanya sisa-sisa masa yang dia ada untuk perjuangan. Selepas selesai semua kerja hakiki dan tanggungjawab pada keluarga, selepas selesai untuk rehat dan bersantai secukupnya, jika ada lagi lebihan masa baru mereka berkhidmat untuk parti. Ini sikap yang tidak baik.

Adalah tidak wajar sekiranya perjuangan PAS hanya mendapat sisa-sisa masa seseorang itu sahaja selepas tidak tahu hendak buat apa. Carilah masa untuk kerja PAS, bukan tunggu sudah tiada apa mahu dibuat baru kita gunakan untuk PAS. Lebih teruk lagi jika sudah ada masa terluang pun tetap tidak mahu bekerja untuk PAS.

AKTIVITI PAS MEMBANTU MASYARAKAT…(Gambar hiasan)

Ada orang yang memang malas untuk memberikan komitmen terhadap jawatan yang telah diamanahkan kepadanya. Lalu mereka mencipta berbagai-bagai alasan untuk tidak hadir sedangkan mereka sebenarnya tiada kerja lain pun untuk dilakukan pada masa itu.

Mungkin sehingga tiba suatu masa seseorang itu berubah terasa ingin terlibat membantu parti, tetapi sentiasa terhalang dengan urusan kerja hakiki dan urusan lain. Jika dahulu mereka sengaja mencipta alasan untuk lari dari tanggungjawab, kini mereka benar-benar terhalang daripada terlibat.

Kadang kala kita tidak tahu bahawa mungkin sebenarnya kerana sikap kita yang tidak mengambil berat dengan perjuangan ini, lalu Allah SWT sendiri yang menjauhkan kita daripada terlibat dengan aktiviti parti. Tanpa kita sedar rupanya kita sudah dikeluarkan daripada golongan yang Allah SWT pilih untuk terlibat dengan perjuangan Islam ini. Nauzubillah…

Penulis adalah Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka

(Rencana ini adalah siri dalam Modul Kualiti Haraki di bawah Lajnah Pemerkasaan Parti Badan Perhubungan PAS Melaka)

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH