Home Berita PAS Wilayah

Jejak J12K perkukuh Muslimat Wilayah

1104
SHARE

BATU: Jejak Jentera 12K (J12K) Dewan Muslimat PAS Peringkat Wilayah Persekutuan telah dilancarkan pada majlis yang dilangsungkan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini kelmarin.

Disertai 100 anggota Muslimat dari seluruh Wilayah Persekutuan majlis dimulakan dengan munajat diikuti dengan Kuliah Dhuha, slot tazkirah dan diakhiri dengan taklimat Buku Rekod Amalan Muslimat AKIFI.

Pelancarandisempurnakan Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Wan Hasrina Wan Hasan selain Ahli Jawatankuasa Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan Muslimat PAS Malaysia, Dr Normazidah Yahya.

Hadir sama adalah Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Ustazah Salbiah Abdul Wahab yang turut sama hadir menyampaikan ucapan.

“J12K ini merupakan 12,000 jentera Muslimat PAS seluruh Malaysia yang ingin dimaksimumkan kekuatannya berdasarkan sabda Nabi S.A.W.

“Sebaik-baik sahabat itu 4 orang, sebaik-baik pasukan kecil 400 orang, sebaik-baik tentera induk 4,000 orang dan jumlah 12,000 orang itu tidak akan kalah dengan sebab sedikitnya,” ujar Ustazah Wan Hasrina memetik Hadis itu.

Manakala Dr Normazidah pula menegaskan bahawa takwa adalah tunjang utama setiap anggota J12K dan solat semestinya menjadi sumber kekuatan buat jentera pilihan Allah ini.

“Setiap daripada kita perlu menjaga dan memperbaiki solat seharian kita. Begitu banyak sejarah telah menunjukkan hubungan langsung antara solat dan kemenangan sesuatu tentera baik dari solat fardhunya, solat malamnya mahupun solat-solat sunat yang lain,” ujar beliau.

Setiap peserta yang hadir telah menerima Buku Rekod Amalan Muslimat AKIFI sebagai salah satu usaha Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Malaysia dalam memperkasakan pembinaan rohani dan jasmani setiap ahli. – HARAKAHDAILY 11/2/2020

Jejak J12K perkukuh Muslimat Wilayah

Sumber : DHIYA’ MUTTMAINNAH