Home Kenyataan Media Dewan Ulamak PAS Pusat

Jauhi Malapetaka ; Cegah Sebarang Aktiviti mungkar Di Malaysia

1635
SHARE


JAUHI MALAPETAKA; CEGAH SEBARANG AKTIVITI MUNGKAR DI MALAYSIA

1. Tersebar info mengenai satu program khusus untuk meraikan artis dari Thailand termasuk artis gay yang disebarkan melalui program “KISSING KRIST & SIGNTO 1st Fan Meeting”. Dinyatakan dalam info tersebut bahawa program berkenaan dijangka akan diadakan di Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2018 bertempat di National Museum Auditorium Kuala Lumpur.

2. Walau bagaimanapun, pihak Jabatan Muzium Malaysia telah menafikan program tersebut. Ketegasan yang telah ditunjukkan oleh Jabatan Muzium Malaysia dalam hal ini perlu dipuji dan seharusnya dicontohi oleh semua pihak sama ada peringkat kerajaan dan juga masyarakat umum agar menyatakan pendirian jelas dalam berhadapan dengan gerakan songsang supaya ia tidak dapat berkembang dan bertapak di negara ini.

3. Sekiranya program sebegini disokong oleh mana-mana pihak, maka amat malanglah bagi negara Malaysia apatah lagi Malaysia merupakan negara yang meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Ia berikutan program tersebut jelas bertentangan dengan prinsip agama dan nilai budaya masyarakat di negara ini. Sama ada program ini tertutup atau terbuka, sekiranya dilaksanakan ia pasti mencalar dan merobek maruah negara dengan kelakuan yang terkutuk.

4. Kalau tiada angin, masakan pohon bergoyang. Sudah tentu ada pihak yang berurusan menjemput artis tersebut kerana tular melalui video pendek artis dari Thailand tersebut akan tiba bertemu peminat pada 20 Oktober 2018 terdekat ini. Gerakan songsang ini mula miliki kekuatan sehingga berani muncul dengan lebih terbuka terutama pasca PRU-14 dengan pelbagai isu yang menjadi polemik berterusan. Inilah bahana apabila kuasa politik yang dimiliki tidak mampu menjadi sebenar-benar pelindung kepada agama. Ingatlah pesanan Imam al-Ghazali mengenai peranan kuasa politik iaitu:

الملك والدين توأمان فالدين أصل والسلطان حارس، وما لا أصل له فمهدوم وما لا حارس له فضائع

“Pemerintahan dan agama adalah dua perkara yang berkembar. Agama adalah asas dan pemerintahan adalah pengawalnya. Sesuatu yang tiada asas maka akan hancur dan sesuatu yang tiada pengawal maka akan lenyap.”

5. Menjadi kewajipan ke atas pemerintah dan ummah untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Jangan kerana telah didoktrin dengan racun liberalisme, maka wujudnya tanggapan bahawa adanya dosa dan mungkar peribadi yang mesti diraikan sekalipun ia adalah hubungan songsang yang jelas kemungkarannya. Jika perkara ini tidak dibanteras dengan serius, kita bimbang malapetaka dan bala Allah SWT akan turun bertalu-talu kerana pengabaian kita terhadap tanggungjawab amar makruf nahi mungkar.

Sayyidina Huzaifah al-Yaman meriwayatkan bahawa sesungguhnya Rasullah SAW ada bersabda:

«وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ الْمُنْكَرِ، أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ، ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلا يَسْتَجِيبُ لَكُمْ»

Maksudnya: “Dan demi jiwaku di bawah kekuasaan-Nya, sama ada kamu melakukan suruhan perkara makruf dan mencegah kemungkaran atau Allah akan mengutuskan azab dari-Nya ke atas kamu, kemudian kamu berdoa pada-Nya namun Dia tidak perkenankan.” [riwayat al-Tirmizi]

6. Seluruh rakyat mesti bangkit bagi memberikan tekanan kepada mana-mana penganjur yang berani melakukan program yang tidak bertamadun dan mempromosikan kemungkaran secara terbuka. Kekuatan yang muncul daripada kesatuan ummah pasti mampu menggerunkan gerakan songsang tersebut yang dilihat semakin berleluasa dan bermaharaja lela pada hari ini.

7. Lantaran itu, Dewan Ulamak PAS Pusat mengucapkan tahniah kepada Jabatan Muzium Malaysia yang telah mengeluarkan kenyataan media berhubung ketegasan pihaknya daripada berkompromi dalam mana-mana isu yang melanggar nilai dan norma masyarakat serta telah menafikan program songsang tersebut yang bakal diadakan di National Museum Auditorium Kuala Lumpur sebagaimana yang tular di media sosial.

“Islam Memimpin”

“Islam Jalan Penyelesaian”

USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

6 Safar 1440 / 15 Oktober 2018