Home Berita PAS Melaka

Jangan tergugat dengan fitnah dan kezaliman musuh – Ustaz Imran

138
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 16 Jan: Ahli-ahli PAS diingatkan agar tidak tergugat dengan kezaliman dan fitnah yang dilakukan oleh pihak musuh, kata Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman.

Menurut beliau, ahli-ahli PAS harus terus istiqamah bekerja di samping menyerahkan segala hal kezaliman dan fitnah musuh itu kepada Allah SWT untuk mengadilinya.

“Kita sepatutnya mesti bekerja. Fitnah dan kezaliman yang mereka lakukan insya-Allah, jangan gaduh, kita ada Allah SWT. Allah akan ajar mereka.

Ustaz Imran Abdul Rahman

“Jadi saya nak ahli-ahli kita di peringkat cawangan ini terus beristiqamah. Istiqamah ni bukan mudah. Kita cakap senang, istiqamah, istiqamah, tapi bukan mudah.

“Hari ini kalau kita tidak bagi komitmen untuk kita ditarbiah oleh jamaah, kita akan tergugat. Jadi kita kena pastikan usrah di cawangan-cawangan. Supaya kita sentiasa bertemu dengan rakan-rakan dan sahabat-sahabat kita. Dan kita pastikan ahli-ahli kita sentiasa terus beristiqamah.

“Kedua dekat dengan Allah SWT. Allah yang menetapkan hati kita kita. Jangan gusar dengan apa yang mereka ataupun musuh-musuh kita lakukan. Kita ada Allah. Tetapkan pendirian kita,” ujar beliau.

(Kiri) Timbalan Pesuruhjaya-3 PAS Melaka, Ustaz Sudin Noh

Ustaz Imran turut menyarankan agar semua ahli PAS mencontohi ketabahan Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang sedikit pun tidak rasa tergugat dengan apa yang terjadi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Perasmian Berkelompok Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan-cawangan PAS Kawasan Masjid Tanah.

Program yang berlangsung di Markaz PAS Hujan Panas di sini pada Sabtu malam (14 Januari) telah dirasmikan oleh Timbalan Pesuruhjaya-3 PAS Melaka, Ustaz Sudin Noh.

Mengulas tentang pemilihan yang akan turut diadakan pada mesyuarat agung kali ini, Ustaz Imran menggesa ahli-ahli PAS agar memilih pemimpin yang benar-benar sanggup menerima amanah.

Menurut beliau, sekiranya pemimpin yang dipilih itu tidak mempunyai kesanggupan untuk menjadi pemimpin, cawangan-cawangan akan berisiko lumpuh.

“Kita buat mesyuarat pilih betul-betul orang yang sanggup menerima amanah sebagai pimpinan. Jangan pakai pilih sahaja. Kalau pakai pilih sahaja untuk mengisi jawatan itu, ini yang menyebabkan jawatan di cawangan tidak bergerak.

“Ini yang paling penting kerana akar umbi kita terletak di cawangan-cawangan. Kita di kawasan hanya menyelaraskan. Jadi Pemuda-pemuda Cawangan mesti digerakkan; Muslimat Cawangan mesti diramaikan; Ahli-ahli mesti digerakkan untuk menghadiri program-program kita,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, Cawangan-cawangan PAS perlu bekerja bagi mengisi kemenangan di Parlimen ini dengan aktiviti-aktiviti bersama rakyat dan bukan lagi berkisar dalam kelompok parti sahaja.

“Hari ini kita kena cakna dengan rakyat Masjid Tanah ini. Kita bantu rakan kita parti BERSATU atas nama Perikatan Nasional untuk mengisi kemenangan. Jadi saya harap kerja-kerja ini dapat dirancang dengan baik dan di peringkat cawangan,” kata beliau.

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH