Home Berita PAS Melaka

Pejuang Islam jangan terdetik untuk ‘menyakau’ – Ustaz Sudin Noh

363
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 16 Jan: Timbalan Pesuruhjaya-3 PAS Melaka, Ustaz Sudin Noh mengingatkan semua pimpinan dan aktivis parti ini agar jangan sekali-kali ada niat untuk ‘menyakau’ (rasuah dan penyelewengan) setelah diberi kemenangan.

Tambah beliau lagi, sebagai pejuang Islam apabila diberi kemenangan pimpinan dan ahli-ahli PAS harus berasa risau kerana perlu menunaikan amanah yang besar ini yang penuh dengan dugaan.

Ustaz Sudin Noh sedang menyampaikan ucapan perasmian

“Bila kita dapat kemenangan, rasa risau. Kita kena risau. Kita bukan macam pendukung-pendukung parti yang lain. Mereka apabila dapat kemenangan mereka tidak risau, di situ mereka hendak mencari tempat ‘menyakau’.

“Tak sama dengan kita. (Tetapi) kalau kita ada niat untuk ‘menyakau’ macam tu memang tak lama,” pesan beliau.

Menurut Ustaz Sudin lagi, hanya dengan adanya sifat takwa dalam diri dengan mematuhi segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan dapat menjadi benteng dari melakukan penyelewengan apabila diberi kuasa.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bagi merasmikan secara berkelompok Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan-cawangan PAS Kawasan Masjid Tanah di Markaz PAS Hujan Panas di sini pada Sabtu malam (14 Januari).

Beliau dalam ucapannya turut menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada PAS Kawasan Masjid Tanah atas kemenangan Perikatan Nasional di parlimen ini.

Menurut beliau, walau pun bukan PAS yang bertanding namun usaha dan daya juang yang ada pada pendukung-pendukung parti ini sedikit sebanyak telah memberikan satu sumbangan yang besar kepada kemenangan ini.

(Kiri) Timbalan Pesuruhjaya-3 PAS Melaka, Ustaz Sudin Noh

“Ini adalah merupakan satu nikmat. Dan nikmat ini perlu kita jaga dan kita pelihara. Sebab ini kemenangan yang Dia berikan ini, kalau ikutkan memang tidak disangka-sangka. Mana-mana (kawasan) pun memang tidak disangka-sangka,” kata beliau.

Turut berucap ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, yang juga merupakan TimbalanPesuruhjaya-2 negeri, Ustaz Imran Abdul Rahman.

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH