Home Berita PAS Perlis

Jangan sempitkan matlamat menang pilihan raya

154
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 3 Dis: Seluruh pimpinan dan ahli PAS diingatkan agar tidak menyempitkan matlamat perjuangan ini semata-mata untuk memenangi pilihan raya.

Jelas Ketua Ulamak PAS Negeri Kedah, Sheikh Mohamad Rodi Abdul Rahman, ini kerana sejak penubuhannya, PAS tidak pernah meletakkan Putrajaya sebagai matlamat tertinggi yang ingin dicapai dalam berpolitik.

Kita berintima’ ini bukan sekadar ingin menang pilihan raya, (bahkan) kita kena faham, matlamat perjuangan kita lebih daripada itu.

Yang paling utama, perjuangan kita adalah berkehendakkan meraih keredaan Allah SWT.

Kalaulah kemenangan kita tidak mendapat keredaan Allah, tidak mendapat restu Allah, apalah gunanya kemenangan tersebut,” katanya ketika menyampaikan pengisian pada program Liqa’ Fikri PAS Kawasan Kangar di Markas Tarbiyyah PAS Kawasan Kangar, di sini hari ini.

Maka sebab itulah katanya, PAS tetap berpegang kepada prinsipnya meskipun tindakan berkenaan sering dilihat merugikannya dari sudut politik.

Beliau memberi contoh bagaimana kerajaan pimpinan PAS di Kedah yang membuat keputusan berani dengan melarang pembaharuan lesen kedai judi seperti yang diumumkan baru-baru ini.

Tindakan berkenaan bukan sahaja mendapat tentangan pelbagai pihak, malah bakal mengheret kerajaan negeri ke mahkamah.

Namun ujarnya, demikianlah bentuk kepimpinan yang diperjuangkan oleh PAS iaitu meletakkan pertimbangan dosa dan pahala dalam sebarang keputusan yang dibuat, yang membezakannya dengan mana-mana parti politik lain yang ada di negara ini.

“Kita (PAS) nak kuasai kerajaan agar kita dapat urustadbir mengikut cara Islam, agar selari dengan kehendak Allah, bukan kita saja-saja seronok nak jadi kerajaan,” katanya.