Home Minda Presiden

Jangan mudah lupa sehingga ditipu berulang kali

451
SHARE

Minda Presiden PAS

JANGAN MUDAH LUPA SEHINGGA DITIPU BERULANG KALI


Rasulullah SAW bersabda:

لَا ‌يُلْدَغُ ‌المُؤْمِنُ ‌مِنْ ‌جُحْرٍ ‌وَاحِدٍ ‌مَرَّتَيْنِ.

“Tidak sepatutnya seorang yang beriman, disengat sebanyak dua kali daripada satu lubang (yang sama).” (Riwayat al-Bukhari 6133 dan Muslim 63)

Rasulullah SAW meminta kepada orang yang beriman supaya bersikap bijak dalam menghadapi cabaran, khususnya daripada lawan ataupun musuh, dan juga sesiapa sahaja.

Sebab hadis ini, apabila seorang tawanan Perang Badar bernama Abu ‘Azzah al-Jumahi seorang penyair mengadu akan kemiskinannya dan mempunyai anak yang perlu dijaga. Maka, Rasulullah SAW terus membebaskannya.

Apabila pulang ke Makkah, tiba-tiba dia kembali mengulangi tindakannya dengan bersyair mempersendakan Islam dan umatnya. Pada masa yang sama, turut menggalakkan para kabilah Arab untuk memerangi Islam dan memberikan semangat kepada musuh Islam agar berperang di Uhud. Tiba-tiba, sekali lagi dia ditawan di Hamra’ al-Asad dan mengadu kepada Rasulullah SAW seperti dahulu. Maka, Rasulullah SAW bersabda dengan hadis yang disebutkan tadi, lalu dia dijatuhkan hukuman.

Semua hadis Rasulullah SAW adalah suatu kebijaksanaan yang berterusan sepanjang zaman. Hadis di atas menegaskan kepada golongan yang beriman supaya bersikap bijak, jangan mudah lupa sehingga boleh ditipu berulang kali.

Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu telah memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH), kerana ramai tertarik dengan janji yang diucapkan dan ditulis, termasuklah janji yang mustahil dilaksanakan dalam masa yang singkat. Bahkan ada juga janji yang dikatakan boleh ditunaikan dalam tempoh yang pendek dalam sehari semalam. Adapun yang tersurat dalam manifesto, masih boleh dibaca semula.

Apabila tindakan mereka ketika menjadi kerajaan dipersoalkan, semuanya dituding kepada kerajaan yang terdahulu. Apa yang dibisingkan oleh mereka ialah perebutan jawatan Perdana Menteri yang menunjukkan perangai bernafsu yang rakus, sifat yang diharamkan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya:

إِنَّا ‌وَاللهِ ‌لَا ‌نُوَلِّي ‌عَلَى ‌هَذَا ‌الْعَمَلِ ‌أَحَدًا ‌سَأَلَهُ، ‌وَلَا ‌أَحَدًا ‌حَرَصَ ‌عَلَيْهِ.

“Demi Allah! Sesungguhnya kami tidak memberikan jawatan kepada orang yang meminta dan orang yang bernafsu mahukannya.” (Riwayat Muslim 1733)
Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ سَمُرَةَ، قَالَ: قَالَ لِي النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ سَمُرَةَ، ‌لَا ‌تَسْأَلِ ‌الإِمَارَةَ، فَإِنَّكَ إِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ إِلَيْهَا، وَإِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا.”

Daripada ‘Abd al-Rahman bin Samurah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda kepada ku: “Wahai ‘Abd al-Rahman bin Samurah! Janganlah sekali-kali kamu meminta jawatan menjadi pemimpin (ketua). Jika kamu diberikan jawatan itu dengan meminta, nescaya Allah membebankan kepadamu dan jika diberikan jawatan bukan disebabkan meminta, nescaya Allah akan menolongmu.” (Riwayat al-Bukhari 7146 dan Muslim 1652)

Lebih membahayakan umat dan negara, apabila terdapat dalam kalangan mereka yang sedia bersekongkol dengan sesiapa sahaja, termasuklah musuh agama, umat dan negara sehingga sanggup bersama dengan golongan yang nyata bersikap ekstrem terhadap Islam, umat dan raja. Maka, perkara ini sangatlah dilarang oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِنْ دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ إِنْ كُنْتُمْ تَعْقِلُونَ١١٨ هَا أَنْتُمْ أُولَاءِ تُحِبُّونَهُمْ وَلَا يُحِبُّونَكُمْ وَتُؤْمِنُونَ بِالْكِتَابِ كُلِّهِ وَإِذَا لَقُوكُمْ قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا عَضُّوا عَلَيْكُمُ الْأَنَامِلَ مِنَ الْغَيْظِ قُلْ مُوتُوا بِغَيْظِكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ١١٩ إِنْ تَمْسَسْكُمْ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ وَإِنْ تُصِبْكُمْ سَيِّئَةٌ يَفْرَحُوا بِهَا وَإِنْ تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ١٢٠﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kalian mengambil orang-orang yang bukan daripada kalangan kalian menjadi teman yang dipercayai. Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan mudarat terhadap kalian. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kalian. Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kalian keterangan-keterangan itu, jika kalian (mahu) memahaminya. (118); Kalian sahajalah yang menyukai (dan percayakan) mereka, sedang mereka tidak suka kepada kalian. Kalian juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kalian, mereka berkata: ‘Kami beriman’, tetapi apabila mereka menyendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kalian), katakanlah (wahai Muhammad): ‘Matilah kalian dengan kemarahan kalian itu.’ Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala isi hati. (119); Jika kalian beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian), nescaya ia menyakitkan hati mereka; dan jika kalian ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan jika kalian bersabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kalian sedikit pun. Sesungguhnya Allah mengetahui akan apa yang mereka lakukan. (120).” (Surah Ali ‘imran: 118-120)
Kita menerima kewujudan masyarakat majmuk yang menyedari kedudukan mereka sebenar, bahkan boleh bekerjasama dengan baik berkonsepkan adil terhadap semua dan diberikan hak beragama tanpa sebarang paksaan.

Apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan adalah konsep yang boleh menghadapi perubahan secara positif, bahkan sudah berlaku beberapa peruabahan pada hari ini.

Hanya beberapa hari kerajaan PH berkuasa, sudah terserlah sikap mereka yang melampau terhadap Islam dan kepimpinannya, sedangkan ia suatu perkara yang wajib dipertahankan dengan perintah Allah SWT.

Kepada generasi muda yang tidak menyaksikan peristiwa lalu, janganlah mudah terpengaruh dengan media tanpa sempadan yang akan membawa penyesalan di dunia dan akhirat yang sudah tidak berguna lagi penyesalannya.

Cukuplah perkara besar ini menjadi pengajaran. Jangan ditipu untuk kali kedua laksana disengat daripada lubang yang sama, dan haram bersama dengan musuh agama dan umat, sama ada yang nyata mahupun yang tersembunyi.

Firman Allah SWT:

﴿وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُعْجِبُكَ قَوْلُهُ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَى مَا فِي قَلْبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ٢٠٤ وَإِذَا تَوَلَّى سَعَى فِي الْأَرْضِ لِيُفْسِدَ فِيهَا وَيُهْلِكَ الْحَرْثَ وَالنَّسْلَ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْفَسَادَ٢٠٥ وَإِذَا قِيلَ لَهُ اتَّقِ اللَّهَ أَخَذَتْهُ الْعِزَّةُ بِالْإِثْمِ فَحَسْبُهُ جَهَنَّمُ وَلَبِئْسَ الْمِهَادُ٢٠٦ وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ٢٠٧﴾

“Dan antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia ialah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu). (204); Kemudian apabila dia pergi berpaling (daripadamu), berjalan di muka bumi untuk melakukan kerosakan padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedangkan Allah tidak suka kepada bencana kerosakan. (205); Dan apabila dikatakan kepadanya: ‘Bertaqwalah engkau kepada Allah’ timbulah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu, padanlah dia (menerima balasan azab) neraka Jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka Jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal. (206); Dan antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah semata-mata; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya. (207).” (Surah al-Baqarah: 204-207)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 9 Zulqa‘dah 1442 / 19 Jun 2021