Home Artikel PAS Perlis

Jabatan Amal Perlis Seru Pemuda Tampil Derma Darah

827
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR: Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis (JAMNPs) hari ini menyeru semua pemuda PAS di negeri ini agar tampil menderma darah di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), dekat sini pada 30 dan 31 Mac ini.

Seruan ini dibuat berikutan maklumat daripada unit tabung darah hospital yang menyatakan bahawa bekalan darah telah berkurangan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac yang lalu.

Pengarahnya, Amirul Jufri Mat Saman berkata, mereka yang ingin menderma darah perlulah membuat persediaan dengan mengikut SOP keselamatan yang telah ditetapkan sebelum berbuat demikian.

“Mereka hendaklah memastikan tubuh badan berada dalam keadaan sihat di samping memiliki berat badan 45kg dan ke atas seperti yang telah ditetapkan.

“Selain itu, mereka juga tertakluk kepada peraturan-peraturan yang berkuatkuasa sepanjang tempoh pelaksanaan Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) ini iaitu sentiasa berada dalam keadaan bersih, memakai topeng penutup muka dan hidung dan sarung tangan serta sentiasa menjarakkan diri dengan orang lain sejauh 1 meter,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

 

Para penderma juga ujarnya akan diberikan jadual sebelum menderma darah di hospital berkenaan manakala setiap sesi derma darah dijangka akan mengambil masa antara 1 jam bagi lima orang penderma.

“Untuk menderma darah, sila hubungi Alif Naimi di talian 019-410 2945 atau Thoriq (010-315 9334).

“Para penderma juga diminta agar memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya ditahan, tentang tujuan perjalanan mereka (menderma darah di HTF),” jelasnya.