Home Berita PAS Pulau Pinang

JAM Nibong Tebal bersih surau di kawasan bencana

43
SHARE

Oleh NAZRI ABD HAMID | Foto ISWARDI ISMAIL

YAN, 28 OGOS – Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kawasan Nibong Tebal menggerakkan seramai 22 petugas ke Titi Hayun, di sini hari ini untuk melaksanakan kerja bersangkutan susulan dilanda banjir akibat fenomena kepala air, baru-baru ini.

Yang Dipertua PAS Kawasan Nibong Tebal, Nor Zamri Latiff yang juga anggota Jabatan Amal Malaysia kawasan bersama ketua pemuda, Zulazhar Mohamad turut menyertai program itu.

Nor Zamri berkata, pasukan itu sepatutnya bertugas di Alor Pongsu, Perak untuk melaksanakan pembersihan ekoran banjir namun tugasan itu telah pun dilaksanakan oleh Jabatan Amal Perak, kelmarin.

“Untuk tidak menghalang semangat anggota, saya mencuba untuk meneruskan hasrat murni ini dengan berusaha di kawasan bencana di Yan,” ujarnya.

Menurutnya, hasil perbincangan dengan Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ahmad Yahya, pasukan itu diminta untuk membantu kerja-kerja pembersihan dewan dan surau di Kem Kenari Yan, yang diseliakan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS negeri, Ustaz Mohd Rodi Abdul Rahman Al Hafiz.

Katanya, taklimat diberikan oleh Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kedah, Ustaz Yusuf Ahmad kepada pasukan Jabatan Amal Kawasan Nibong Tebal, Jabatan Amal Kawasan Parit dan Murtadha Dakwah Centre (MADAD) bagi memudahkan dan kelancaran gerak kerja.

Nor Zamri berkata, keadaan di dalam dewan yang dilimpahi lumpur yang hampir kering setinggi hampir dua kaki itu menyukarkan kerja-kerja pembersihan.

“Namun dengan hasil kerjasama berpasukan ianya menjadi mudah dan senang,” ujarnya.

Katanya lagi, kehadiran legenda bolasepak Kedah dan Malaysia, Radzi Mohd Din yang turut ‘berlemoih’ menceriakan suasana dan menghilang sejenak kepenatan para peserta.

Sementara itu, pemilik Kem Kenari Nature Park Yan, Jaafar Man, 62, mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat melaksanakan program di bawah inisiatif Dewan Ulamak Kedah itu.

“Banyak struktur bangunan yang telah rosak akibat dilanggar batang kayu yang dihanyutkan air,” jelasnya yang mengusahakan taman rekreasi berkenaan selama 21 tahun.