Home Berita PAS Johor

JAM Muar bantu urus jenazah Covid 19

166
SHARE

Oleh : SHARIFAH AJIL

MUAR, 1 Ogos : Jabatan Amal Malaysia (JAM) kawasan Muar telah memberi khidmat tenaga membantu pihak petugas barisan hadapan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar menguruskan jenazah pesakit Covid 19 yang telah meninggal dunia, di sini.

Menurut Ketua Tugas Khas JAM Muar, Mohamad Alif Baharum, beliau yang bertindak sebagai ketua pengurusan pengebumian ini berkata perkhidmatan yang diberi bukan sahaja tertumpu kepada sekitar mukim Parit Bakar dan Parit Jawa, tetapi juga di kawasan mukim lain yang berdekatan mengikut permintaan daripada waris.

Tambah beliau, JAM Muar juga mendapat bimbingan penuh daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kawalan yang ketat dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk pasukannya menguruskan jenazah COVID-19 ini mengikut prosedur dan SOP yang ditetapkan.

“Seramai 15 orang anggota JAM telah bergilir membantu petugas hospital menguruskan pengebumian jenazah yang semakin meningkat jumlahnya hari demi hari sejajar dengan jumlah peningkatan kes Covid 19 di daerah ini” kata Mohamad Alif.

Tambah beliau lagi pasukannya daripada JAM Muar juga sentiasa bersedia memberi khidmat sepenuhnya jika pihak berwajib sudi meletakkan mereka sebagai petugas barisan hadapan membantu di saat kes COVID19 semakin meningkat.

“Saya berharap semoga petugas-petugas JAM sentiasa dilindungi Allah agar dapat terus berkhidmat membantu mengurangkan beban petugas barisan hadapan yang begitu banyak berkorban tenaga dan masa menguruskan jenazah pesakit Covid 19 ini” harapan beliau mengakhiri kata-katanya ketika dihubungi Wartawan Rakyat Johor.