Home Berita PAS Johor

JAM dan ARC Muar bantu pasca banjir Selangor

169
SHARE

Oleh : SHARIFAH AJIL

MUAR, 30 Dis : Jabatan Amal Malaysia (JAM) Muar dan Kelab Bermotosikal Alternatif (ARC) Muar dilaporkan turut terlibat membantu menyumbang tenaga dalam operasi pembersihan rumah-rumah pasca banjir di Selangor baru-baru ini.

Menurut Ketua Operasi, Ustaz Hairi Hamzah untuk operasi siri pertama pada 22 Disember yang lepas beliau bersama empat orang anggota JAM Muar yang lain telah diberi tugasan awal untuk menjaga lalu lintas kenderaan di markas utama Seksyen 18, Shah Alam.

Beliau juga melaporkan pada sebelah petang pasukannya telah dikerahkan untuk membantu membersihkan sebuah rumah mangsa banjir yang terkesan di Padang Jawa.

Sementara itu, seramai enam orang ahli ARC Muar yang turut hadir juga telah bersama dalam operasi pembersihan beberapa rumah mangsa banjir di dua kawasan iaitu di Shah Alam dan Sepang.

Operasi bantuan pembersihan juga berakhir pada hari berkenaan di rumah seorang mangsa banjir yang bernama Ustaz Johari, terletak Kampung Seri Tanjung, Dengkil yang dilaporkan terkesan teruk rumahnya akibat kesan banjir yang berlaku.

Dalam siri kedua operasi, seramai empat orang ARC Muar telah bersama pasukan ARC Negeri Johor dalam operasi pembersihan di Kampung Bukit Cagang, Taman Langat sekitar kawasan Dengkil yang bermula dari jam lapan pagi hingga tiga petang.

Dalam masa yang sama, ahli ARC Muar turut sama mengambil bahagian dalam program ‘Menghidupkan Motosikal Mangsa Banjir’ di kawasan Hulu Langat yang dianjurkan pihak ARC.

Sementara itu juga dalam operasi kali kedua pada 25 hingga 26 Disember, JAM Muar yang diketuai oleh Ketua DPP Muar, Hadi Abu Bakar bersama 12 orang anggota dan empat orang ahli Briged Muslimat sekali lagi hadir dengan membawa sumbangan berupa 20 set kit solat dan 20 buah set tilam.

“Setelah lapor diri di Bilik Operasi Sepang, kami telah membersihkan empat buah rumah di Taman Semarang Indah, kemudian di Labohan Dagang.

“Oleh kerana operasi seterusnya agak mencabar kerana keadaan lumpur yang tebal di Madrasah Bustanul Ariffin dan agak sukar dalam aktiviti pembersihan, JAM Muar bergabung tenaga dengan jentera dari Pasir Gudang dengan jumlah kesemuanya 25 orang anggota,” ujar Hadi.

Menurut beliau dalam operasi ini juga pasukannya telah bekerjasama dengan para mahasiswa dari KUIS, pasukan JAM Kelantan, anggota JPAM dan pasukan wakil-wakil dari kerajaan Negeri Kelantan serta Kedah yang turut hadir sama membantu menjayakan operasi.