Jalan Mesti Betul Dan Istiqamah Atas Jalan Betul
Ustaz Nik Nasri
Dalam sejarah para nabi dan rasul, di antaranya yang disebut sebagai Nabi ulul-azmi, Nabi yang mempunyai keazaman tinggi berjuang menegakkan Islam, juga berhadapan dengan umat dan kaum yang degil dengan jahiliah nya.
Para Nabi itu mencari pengikut, pendokong dan penyokong. Dalam Al-Qur’an, kita membaca ayat tentang Hawariyyun dan Sahabat, di mana Nabi Isa as mencari golongan yang mahu membantunya menegakkan Islam. Nabi Musa juga begitu. Sementara Nabi Muhammad SAW mencari kalangan Muhajirin dan Ansar bagi membantu Baginda.
Dalam konteks PAS, ada pemimpin, pendokong dan penyokong. Ada ahli parti yang aktif, ada yang pasif dan ada yang hanya menjadi penonton dari jauh.
Ada orang yang sedih apabila Islam kalah, tetapi apa sumbangannya untuk Islam? Ada yang hanya pandai mengkritik, tetapi apa peranannya untuk mengembalikan kegemilangan Islam?
Dukacitalah jika tidak menolong Islam. Dukacitalah jika ada peluang membantu Islam, tetapi peluang itu dilepaskan. Lebih dukacita apabila menjadi alat kepada musuh Islam.
Antara isu terkini dalam politik Malaysia ialah yang berkait dengan Akta 164 dan RUU355. Kita boleh lihat siapa yang bersungguh menegakkan Islam melalui kedua-dua Akta dan RUU itu. Ahli Parlimen PAS berusaha menjadikan RUU355 dan Akta 164 berpihak kepada Islam dan syariatnya. Pemimpin, pendokong dan penyokongnya juga begitu.
Namun, ada orang lain yang memberi pelbagai alasan yang kemudiannya ‘memandulkan’ Islam dan hukumnya, dengan sangkaan mereka di atas jalan yang betul.
Benarlah ayat Al-Quran yang dibaca dalam surah Al-Fatihah yang sentiasa diulang agar Allah tunjukkan jalan yang betul, kemudian mesti istiqamah di atas jalan yang betul itu.
Penulis adalah Ketua Lajnah Media Baharu Dewan Ulamak PAS Terengganu.