Home Berita PAS Perlis

Jabatan Amal Perlis anjur Ijtimak Korban 2021

46
SHARE

Oleh Nur ‘Iffah

KANGAR, 16 Julai: Seperti tahun-tahun sebelumnya, Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis (JAMNPs), akan mengadakan Ijtimak Korban JAMNPs 2021 sempena kedatangan Aidil Adha tidak lama lagi.

Pengarahnya, Amirul Jufri Mat Saman berkata, pihaknya telah mendapat kebenaran untuk melaksanakan ijtimak berkenaan akan dilaksanakan mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Alhamdulillah, disebabkan kes Covid-19 di negeri ini tidak tinggi, membolehkan kami melaksanakannya (ijtimak korban) mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Program ini telah berlangsung sejak lima tahun lalu dan dapat diteruskan lagi pada tahun ini walaupun dalam keadaan yang berbeza berbanding sebelum ini.

“Sebanyak 20 ekor lembu dan 30 ekor kambing bakal dikorbankan, sebahagian akan disedekahkan kepada golongan asnaf dan sebahagian lagi akan diserahkan kembali kepada tuannya,” katanya.

Menurutnya lagi, untuk kali ini, JAMNPs mensasarkan untuk mengumpulkan sebanyak 1 tan daging korban untuk diedarkan.

“Daging-daging ini akan kami edarkan kepada seramai 1000 orang fakir miskin di seluruh negeri Perlis,” ujarnya.

Ijtimak Korban JAMNPs 2021 dianjurkan dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis dan PAS Kawasan Kangar.