Home Berita PAS Melaka

Isu tular guru maut akibat Covid-19 tak bergejala tidak tepat – JKNM

1165
SHARE

 

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 21 Mei : Isu yang tular pada 19 Mei lepas berkenaan seorang guru yang meninggal dunia dikatakan akibat dijangkiti varian baharu Covid-19 yang tidak menunjukkan sebarang gejala adalah tidak tepat.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Datuk Dr Ismail Ali, hasil siasatan pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka menunjukkan arwah mulai tidak sihat pada 5 Mei dan telah mendapatkan rawatan sebanyak dua kali di klinik swasta berhampiran rumah arwah.

“Arwah mengalami gejala batuk dan susah bernafas bermula pada 17 Mei 2021. Pada 19 Mei 2021 jam 5.00 pagi, arwah ditemui tidak sedarkan diri dan mengalami kekejangan.

“Arwah terus dihantar ke Hospital Melaka, diberi bantuan pernafasan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan lanjut.

“Ujian pengesanan RT-PCR Covid-19 dijalankan dan didapati keputusan adalah positif Covid-19. Walau bagaimanapun, keadaan arwah bertambah tenat dan arwah disahkan meninggal dunia pada 19 Mei 2021 jam 11.40 malam,” kata beliau.

Tambah Dr Ismail lagi, pihak JKN Melaka ingin memaklumkan bahawa survelan genomik sampel Covid-19 yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) adalah untuk mengenal pasti dan mengesahkan varian virus Covid-19.

Poster yang tular diikuti caption tentang maklumat tidak tepat yang dinyatakan JKNM

“la merupakan proses yang kompleks dan mengambil masa dua minggu. Varian virus Covid-19 bagi arwah masih dalam siasatan.

“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),”ujar beliau.

Beliau juga memberi jaminan bahawa orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya.

Pihak JKN Melaka menyeru masyarakat agar berhenti menyebarkan berita tidak sahih mengenai kematian guru itu yang bertugas di sebuah sekolah di negeri Melaka dan menghormati ahli-ahli keluarga arwah yang sedang berkabung, katanya.

“Setiap individu perlu lebih prihatin dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memerangi pandemik Covid-19 di Malaysia,” ujar beliau lagi.

Beliau berkata demikian di dalam satu kenyataan media yang disiarkan di laman Facebook JKN Melaka sebentar tadi.

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .