Home Berita PAS Melaka

Isu pemandu mabuk – rakyat ternanti-nanti perubahan – Datuk Ustaz Kamarudin

228
SHARE
Datuk Ustaz Kamarudin Sidek

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 7 Jun: Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek berkata, rakyat sangat ternanti-nanti untuk melihat berlaku perubahan dalam isu pemandu mabuk yang menyebabkan berlakunya kemalangan maut.

Tambah beliau, kejadian seperti ini masih lagi berlaku dan melibatkan nyawa insan-insan yang tidak bersalah selain menyebabkan mereka meninggalkan anak-anak yang masih dalam tanggungan.

“Bagi saya insiden tersebut boleh dielakkan kerana ia bukan isu kesilapan teknikal tetapi saya anggap kecuaian melampau oleh pihak terbabit.

“Justeru, kecuaian ini perlu diatasi segera dengan penguatkuasaan yang ketat oleh pihak-pihak berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) yang meluluskan lesen premis arak, menggubal akta pemandu mabuk dan sebagainya.

“Saya rasa perkara ini semua lapisan rakyat sedang ternanti-nanti perubahan seperti ini dilakukan,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, isu ini juga tiada kena-mengena dengan sensitiviti kaum tetapi ia lebih kepada persoalan kepentingan sejagat.

Beliau menyatakan perkara ini kepada WARM-Berita PAS Melaka ketika dihubungi pagi tadi sebagai mengulas kejadian kemalangan maut sepasang suami isteri melibatkan kecuaian seorang pemandu kereta yang dipercayai mabuk yang berlaku di Jalan Pantai Serkam, Jasin, yang berlaku pada pagi semalam.

Dalam kejadian tersebut sepasang suami isteri, Ezuddin Mohammad, 50 dan Surayah Muhamat, 48, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) bisu, maut apabila dilanggar seorang pemandu kereta yang dipercayai mabuk.

“Saya mengucapkan takziah kepada kaum keluarga mangsa. Saya dan semua pihak sudah tentu dukacita dengan apa yang berlaku kerana ia terlalu tragis dan amat memilukan.

“Walaupun satu insiden yang membabitkan kemalangan pemandu mabuk tetapi ia telah menghiris perasaan ramai orang,” katanya lagi.

Norisham Md Dan

Ketua Penerangan PAS Cawangan Serkam, Norisham Md Dan, 47, pula berpendapat, kejadian seperti ini berlaku kerana kesilapan kerajaan yang selama ini banyak mengeluarkan lesen penjualan minuman keras di premis-premis.

“Kerajaan sepatutnya mencontohi Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam soal penjualan arak ini. Sekurang-kurangnya ketatkanlah penjualannya,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan simpati atas anak-anak yang ditinggalkan pasangan tersebut yang kebanyakannya masih bersekolah.

“Semoga waris mangsa diberi kesabaran. Yang kakak jagalah adik-adik dengan baik. Insya-Allah kami daripada pihak PAS akan mengusahakan bantuan yang termampu untuk mereka,” ujarnya kepada WARM-Berita PAS Melaka.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar dalam satu laporan media berkaitan perkara ini berkata, dalam kejadian kira-kira 7.45 pagi Isnin itu, kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal Yamaha Ego maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Sebuah daripada motosikal terbabit musnah terbakar (Kredit foto : Melaka Hari Ini)

“Sebelum kejadian kedua-dua mangsa bersama sebuah lagi motosikal ditunggang lelaki berusia 57 tahun dalam perjalanan dari arah Melaka menghala ke Merlimau. Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 24 tahun pula datang dari arah bertentangan.

“Hasil siasatan awal kemalangan disyaki berlaku apabila setibanya di lokasi kejadian pemandu Perodua Myvi yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan,” ujarnya.

Perlanggaran ini juga melibatkan dua buah lagi motosikal yang mana sebuah daripadanya sedang berhenti di bahu jalan dan salah satunya juga musnah terbakar.

Kereta Perodua Myvi yang dipandu pemandu mabuk (Kredit foto : Melaka Hari Ini)