Home Kenyataan Media PAS Wilayah

ISU KAPAL TEMPUR PESISIR: JANGAN BIARKAN IA BERULANG LAGI

51
SHARE

1. Saya mengamati fakta dan maklumat berkenaan projek Littoral Combat Ship (LCS) atau kapal tempur pesisir yang menjadi bualan dan perhatian rakyat sejak seminggu ini berikutan kelewatan proses pembinaan kapal ini dari jadual asalnya. Saya mendapati salah satu persoalan yang amat diperhatikan dalam isu ini adalah betapa projek ini sudah lama diwujudkan namun sehingga kini, tiada satu pun kapal siap dibina untuk dijadikan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

2. Situasi ini sangat mengecewakan berikutan mengikut perancangan asal, sejumlah 5 buah dari 6 kapal sepatutnya sudah siap dibina dan diserahkan kepada TLDM bagi memulakan tugasnya di perairan negara. Kelewatan ini menyebabkan bidang tugas TLDM selaku pengawal lautan negara terganggu pada waktu ini dan terdedahnya sempadan negara dengan pelbagai ancaman luar.

3. Situasi ini amat menggusarkan rakyat memandangkan sejumlah besar wang pembayar cukai telah dibazirkan di kala ekonomi negara kita belum pulih sepenuhnya dari kesan pandemik COVID-19.

4. Saya ingin mencadangkan kepada Kementerian Pertahanan untuk memantau pembinaan kapal ini dengan penuh teliti dari masa ke masa agar projek ini dapat diselesaikan dengan segera untuk mengelakkan kos lebih besar yang perlu diperuntukkan bagi menyelesaikannya. Kita percaya pelbagai prosedur dan sistem semak imbang sedia ada boleh dikemaskinikan bagi memastikan projek skala besar seperti projek ini berjalan lancar tanpa wujudnya unsur campur tangan luar.

5. Selaras dengan jaminan Menteri Kanan Pertahanan yang berjanji bahawa jika telah terbukti wujud salahlaku dalam isu ini, saya juga berharap individu yang bertanggungjawab perlu dihadapkan ke mahkamah bagi memastikan keadilan terlaksana dan menjadi pengajaran bahawa tiada siapa akan terlepas jika tidak beramanah dalam menggunakan wang pembayar cukai yang tidak sikit jumlahnya.

‘ Islam Menyatukan Ummah ‘

Ustaz Azhar Bin Yahya
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan