Home Berita Dewan Ulamak PAS Pusat

Isu IMAMS: Perkara Berbangkit Dan Penyelesaian Kekal Melalui Tawaran Dokumen Hijau

1345
SHARE

ISU IMAMS: PERKARA BERBANGKIT DAN PENYELESAIAN KEKAL MELALUI TAWARAN DOKUMEN HIJAU.

Oleh: Zaharudin Muhammad, Pengarah Dokumen Hijau, Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP).

MUKADIMAH:

Kaedah Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) telah dibantah oleh pelbagai pihak ekoran tidak berpuas hati terhadap sistem baharu yang mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terhadap Jemaah di samping berlakunya monopoli oleh individu yang tertentu termasuk non-muslim. Isu ini seolah-olah selesai apabila kerajaan mengisytiharkan pembatalan IMAMS. Tetapi di sana masih banyak isu berbangkit seperti jaminan perlakuan seperti ini oleh kerajaan tidak berulang, pampasan kerugian syarikat Integrated Manasik Monitoring System Sdn. Bhd yang telah membentuk syarikat tetapi dibatalkan kontrak pada saat akhir.

Apa yang perlu difokuskan ialah, tindakan kerajaan melantik syarikat-syarikat swasta untuk menguruskan kepentingan rakyat awam bukan satu kesalahan dalam sistem dan perundangan negara kita. Yang mencegah perlakuan seperti ini hanyalah kemarahan rakyat. Jika mereka dapat elakkan kemarahan rakyat melalui penyembunyian fakta dan realiti, maka rakyat tidak dilihat marah sekalipun perlakuan ini akhirnya membebankan rakyat dengan berlakunya kenaikan kos. Hak awam yang telah diserahkan kepada individu bukan perkara baru, ia sudah lama berlaku dan paling pesat ialah di zaman Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri apabila menyerahkan lembaga-lembaga milik kerajaan seperti Lembaga-Lembaga pengurusan air, pengurusan elektrik, jalan raya dan lain-lain kepada pihak swasta (baca dengan kroni) sehingga menaikkan kos rakyat.

POKOK MASALAH DAN PEMBANGKANG UTAMA

Perlakuan kerajaan yang membebankan rakyat ini hanya dibantah oleh PAS pada waktu itu. Disebabkan oleh media yang terbatas, pembangkang yang sedikit, maka perlakuan ini semakin berleluasa, terakhir ialah Lesen Khas Umrah (LKU) melalui IMAMS yang diuruskan oleh Integrated Manasik Monitoring System Sdn. Bhd (1248473-X) di mana sebahagian sahamnya dipegang oleh Non-Muslim. Bantahan ini timbul atas sebab 2 sentimen utama, iaitu bantah GST ke atas ibadat umrah dan bebanan kos untuk ibadat ini dikecapi oleh non-muslim sebagai share-holder syarikat terbabit. Saya tidak melihat bantahan ini atas pokok asal masalah iaitu menswastakan hak dan kepentingan rakyat, terutamanya apabila bantahan ini melibatkan Perdana Menteri sendiri, pemuda UMNO justeru kebenaran swasta itu di tangan mereka. Begitu juga Pakatan Harapan justeru dasar pengswastaan ini dilaksanakan sewaktu mereka memerintah Malaysia dahulu.

Pokok masalah utama iaitu menyerahkan urusan orang ramai kepada pihak swasta yang sebenarnya diterima pakai perlaksanaannya dalam sistem negara kita. Ia bukan sahaja berlaku di zaman UMNO Najib, tetapi di zaman UMNO Mahathir dan Dato Seri Anwar Ibrahim yang bersama-sama dalam tampuk pemerintahan negara pada waktu itu. Keperluan rakyat untuk air, keperluan rakyat kepada elektrik, keperluan rakyat kepada pengurusan lapangan terbang dan lain-lain sudah lama diswastakan sejak di zaman pemimpin-pemimpin PH berada di tampuk selesa memerintah Malaysia. Manakala keperluan khusus oleh rakyat Malaysia beragama Islam untuk mengerjakan umrah yang diserahkan pengurusannya kepada individu-individu tertentu adalah salah satu daripada siri-siri dasar pengswastaan yang diamalkan sejak di zaman Tun Mahathir.

PENYELESAIAN KEKAL DAN TEGAS

Bagi menyelesaikan permasalah ini secara lebih tegas, tuntas, menyeluruh dan berkekalan, 4 langkah berani perlu diambil oleh kerajaan Malaysia iaitu:

1. Laksanakan Dasar Ekonomi Islam Berasaskan Anti Ghulul.

Menurut Mukjam Lughah Fuqaha susunan Dr Muhammad Qal’aji (m/s 334), kitab Qurratu ‘Uyun Al-Ikhtiar syarah kepada kitab Ad-Durru Al-Mukhtar (jilid 2, m/s 471) kitab Syarh Al-Kabir (jilid 2, m/s 179) dan lain-lain kitab, Ghulul bermaksud ‘mencuri, khianat, menyembunyikan harta rampasan perang sebelum agihan. Ia merangkumi bukan sahaja harta rampasan perang (ghanimah) sebagaimana dinaskan di dalam Al-Quran, tetapi ianya merangkumi semua harta negara (baca dengan harta rakyat). Ia juga bermaksud khianat di mana pemerintah mengkhususkan harta awam kepada pihak tertentu”.

Menurut Dr Ameer Muhammad Nazzar Jal’ut di dalam kitabnya Fiqh Al-Mawar Al-Aamah (m/s 196), Ghulul merangkumi pengambilan daripada rakyat negara Islam tanpa hak. Dalam konteks LKU ini, ghulul berlaku apabila kerajaan mengkhususkan pengurusan bagi keperluan umat Islam untuk mengerjakan ibadat umrah kepada individu tertentu seterusnya mereka mengaut keuntungan daripada perkhidmatan tersebut. Ia bukan sahaja berlaku melalui bayaran kepada syarikat atas nama pengurusan yang dianggarkan berjumlah RM26.129 juta (daripada 290,000 jemaah umrah setiap tahun), tetapi GST yang dianggarkan berjumlah (RM1.479 juta daripada RM26.129 juta) juga dikenakan akibat bayaran diwujudkan oleh syarikat dengan izin kerajaan. Bukan setakat itu sahaja, berkemungkinan sebanyak RM4.42 juta daripada RM11.6 juta anggaran takaful akan masuk ke poket individu atas nama wakalah fee.

Menurut kebiasaan, projek rakyat dan fi-fi takaful (bayaran-bayaran khidmat) dan lain-lain bayaran khidmat awam dimiliki oleh orang-orang politik atau orang hubungan mereka. Jika tidak, mereka tidak akan direkomen untuk dapatkan projek supply takaful service dan seumpamanya. Beginilah cara makan orang politik!

2. Laksanakan Dasar Ekonomi Islam Bersifat Anti Monopoli.

Sekalipun sistem IMAMS ini tidak boleh dikategorikan sebagai ihtikar (monopoli) oleh sebahagian mazhab justeru monopoli hanya khusus kepada makanan sahaja, tetapi jumhur yang terdiri daripada Mazhab Maliki dan Hanafi dan beberapa mazhab yang lain meluaskan maksud monopoli kepada selain makanan melalui kenaikan harga barang dan kos akibat oleh penguasaan tawaran (supply) oleh sebahagian kecil rakyat. Biasanya di dalam kitab fekah mengkhususkan kepada perbuatan monopoli oleh rakyat, bukan monopoli oleh pemerintah justeru pemerintah dan sistemnya adalah Islam pada waktu itu yang tidak memungkinkan berlakunya monopoli oleh mereka.

Malangnya, monopoli yang dilarang oleh kerajaan Islam ke atas rakyat pada waktu itu, dilaksanakan pada hari ini secara rasmi oleh kerajaan yang sepatutnya menjadi pencegah monopoli daripada dilakukan oleh rakyat. Sebaliknya, kerajaan telah melantik pihak tertentu dari kalangan rakyat sebagai pemonopoli secara sah dan rasmi dari sudut undang-undang dan sistem negara. Tuntasnya, pencegahan daripada monopoli pada hari ini bukan sistem pengurusan negara, tetapi kemarahan rakyat.

3. Gariskan Dasar Pengswastaan Mengikut Cara Islam.

Berdasarkan hadis “orang Islam bersekutu di dalam 3 perkara; air, api dan rumput rampai”, maka Islam telah meletakkan garis panduan tertentu untuk pengswastaan. Antaranya ialah, apabila sesuatu sumber yang terhad, yang diperlukan oleh orang ramai, yang jika dibuka kepada semua maka akan rosak dan habis, yang jika diberikan kepada sebahagian maka sebahagian yang lain akan bertanya kenapa aku tak dapat, maka ianya tidak boleh diswastakan dan perlu diuruskan oleh kerajaan. Jika kerajaan perlukan kos untuk pengoperasian, maka kerajaan boleh mengenakan caj di mana keuntungan daripada caj tersebut akan masuk ke akaun kerajaan dan kembali semula kepada rakyat.

Antara kategori ini ialah air di mana sumbernya terhad, jika semua buat paip sendiri disalur daripada sungai ke rumah maka akan berlaku kecelaruan, jika diserahkan kepada beberapa individu, maka rakyat lain akan bertanya kenapa dia dapat, tetapi aku tak dapat?

Antara contoh jelas dalam kes ini ialah seperti air. Jika diserahkan kepada rakyat urus sendiri salurkan paip dari sungai-sungai di Selangor ke rumah mereka, maka akan berlakunya kecelaruan. Tetapi jika di swastakan maka orang ramai akan pertikai kenapa dia dapat sedangkan aku tak dapat sedangkan semua sama dari segi kerakyatan? Maka air tidak boleh diswastakan dan mesti diuruskan oleh kerajaan.

Malangnya, pengswataan air Selangor berlaku pada tahun 2006 (Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri dan DS Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri), di mana aset, sungai dan air negeri Selangor diswastakan kepada individu seperti Tan Sri Ghazali (Syabas) dan Tan Sri Wan Azmin (Splash). Ini adalah bercanggah dengan dasar pengurusan negara menurut Islam. Sepatutnya menurut kaedah yang betul, kerajaan mesti menguruskan keperluan rakyat yang bersifat seperti ini dengan menubuhkan GLC seperti yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan, bukan disertai oleh individu.

Ini menunjukkan bahawa, isu IMAMS ini bukan siri pertama dan terakhir, bahkan ia adalah rantaian siri-siri pengswastaan kerajaan yang sudah bermula sejak puluhan tahun dan tiada kesudahan jika tiada garis panduan menurut Islam.

4. Laksanakan Undang-Undang Hisbah Dan Takzir.

Undang-undang takzir bermaksud perlaksanaan hukuman dan penguatkuasaan yang tidak ditetapkan hukumannya oleh nas syariat. Ia termasuk (1) kesalahan yang tiada nas seperti melanggar lampur merah atau (2) kesalahan yang ditetapkan oleh nas tetapi tiada ditetapkan hukuman seperti kesalahan riba, kesalahan penipuan, kesalahan mencuri di bawah nisab dan lain-lain, termasuk juga kesalahan monopoli, ghulul yang sedang kita bincangkan.

Di dalam takzir sendiri, terdapat hukuman minimum yang wajib dilaksanakan seperti kesalahan menipu, mencuri, ghulul dan lain-lain di mana hukuman minimum yang asas dan wajib dilaksanakan ialah pemaksaan kepada penipu, pencuri, peghulul supaya memulangkan semula wang yang diambil. Jika wang itu sudah habis dibelanjakan, maka ia mesti diganti. Jika tidak diganti, maka paksaan yang memastikan penggantian itu berlaku mesti dilaksanakan.

Sewaktu Saidina Umar bin abdul Aziz menjadi khalifah, takzir ke atas kesalahan ghulul ini pernah dikenakan ke atas gabenor-gabenor di zaman Hajaj bin Yusof As-Saqofi. Antara yang masyhur ialah Yazid bin Mahlab, ipar kepada Hajjaj bin Yusof As-Saqafi. Beliau yang telah mengambil harta orang ramai sewaktu berkuasa dihukum penjara di zaman Umar bin Abdul Aziz sehingga semua harta orang ramai yang dikutip sebelum ini dikembalikan semula. (Al-Bidayah: m/s666) Pernah anak kepada Yazid bernama Makhlad bin Yazid meminta kelonggaran hukuman untuk ayahnya Yazid bin Mahlab , tetapi Umar bertegas menyatakan bahawa ia tidak akan meringankan hukuman sehingga Yazid menyerahkan semua harta rakyat. Tujuan Umar bin Abdul Aziz mengenakan penjara sehingga dipulangkan wang rakyat ialah memastikan pesalah Ghulul memulangkan semula hak kepada tuannya (rakyat). Sepastinya mereka tidak akan mampu justeru sebahagian besar wang itu sudah dibelanjakan sebelumnya secara bermewah-mewah.

Pentingnya perlaksanaan dua undang-undang ini bagi pencegahan dari dua sudut:

a. Sudut pencegahan berulangnya Ghulul dan menyusahkan rakyat:

Jika ghulul ini diwartakan sebagai salah dari segi perundangan Malaysia, maka jika ia berlaku, hukumannya ialah segala wang yang telah dikutip perlu dipulangkan semula kepada rakyat. Jika syarikat seperti Integrated Manasik Monitoring System Sdn. Bhd telah mengeluarkan kos, maka kos itu adalah kerugian yang perlu ditanggung sendiri oleh mereka justeru operasi yang mereka ingin laksanakan bercanggah dengan sistem negara. Jika ada keperluan pembayaran pampasan oleh pihak kerajaan akibat kebenaran yang diberikan secara cuai dan salah, maka bayaran itu mesti diambil daripada wang poket pemimpin terbabit, bukan wang kerajaan (baca dengan wang rakyat).

Dalam kes IMAMS ini, saya rasa agak berkeyakinan bahawa syarikat Integrated Manasik Monitoring System Sdn. Bhd sudah mendapat kontrak daripada kerajaan dan jika benar ia berlaku, maka sepastinya syarikat ini telah mengeluarkan kos yang tinggi untuk membeli sistem, melantik pekerja dan lain. Atas kerugian ini, mereka berhak menyaman kerajaan terutamanya kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan justeru menghentikan operasi selepas kontrak ditandatangani. Dalam sistem yang ada sekarang, sepastinya mereka akan menang dan mereka tetap akan dapat untung atas pampasan tersebut. Yang bayarnya sepastinya duit rakyat. Tetapi jika Ghulul ini digazetkan salah di dalam sistem negara sebagaimana menurut Islam, maka pembayaran pampasan kepada syarikat hendaklah dibayar oleh Tan Sri Nazri Aziz sebagai Menteri Pelancongan yang terlibat, bukan diambil dan dibayar oleh kerajaan (wang rakyat).

b. Sudut pencegahan berlakunya penyelewengan dan penipuan visa:

Sebagaimana yang telah saya tulis panjang lebar dalam satu siri penulisan di dalam Facebook saya, negara Malaysia perlukan kepada undang-undang takzir dan hisbah dalam kes penipuan di mana mangsa tipu perlu dipulangkan semula wang oleh penipu.

Penubuhan hisbah secara rasmi di peringkat rakyat bagi menangani kes-kes penipuan kecil seperti tipu janji, tipu mikro seperti tipu RM50, RM100 dan seumpamanya perlu dilaksanakan segera. Pada hari ini, penekanan kerajaan hanya bagi menjaga syarikat-syarikat besar dengan dibenarkan mereka berintegrasi untuk menghukum pelanggan seperti syarikat telekomunikasi di mana jika kita tidak membayar bil tertunggak akan diblack list oleh Telco sekalipun nilainya RM80, tetapi bagaimana dengan penipu-penipu visa yang melibatkan kos yang lebih tinggi?

Saya bukan bermaksud untuk menyatakan black list penghutang Telco dihapuskan, tetapi jika syarikat besar diberi ruang oleh kerajaan untuk bertindak kepada penghutang mereka, maka sepatutnya kerajaan menyediakan ruang kepada rakyat yang ditipu mendapatkan semula hak mereka sebagaimana undang-undang hisbah di dalam Islam.

Penipuan visa bukan diatasi melalui perlaksanaan IMAMS sebagaimana alasan kementerian justeru ia menyusahkan dan membebankan rakyat, tetapi penyelesaiannya adalah melalui penguatkuasaan undang-undang Islam seperti takzir dan hisbah dalam kes ini. Kepentingan perlaksanaan takzir dan hisbah sangat mendesak bagi menyelesaikan masalah penipuan mikro seperti isu penipuan visa ini. Saya telah jelaskan dalam siri-siri tulisan saya sebelum ini, antaranya adalah sebagaimana link berikut:

https://web.facebook.com/permalink.php?story_fbid=1004696416227460&id=312456128784829

https://web.facebook.com/permalink.php?story_fbid=1241200175910415&id=312456128784829

PENUTUP:

Penyelesaian kes ini melalui sistem perundangan sudah dijelaskan melalui kesungguhan PAS melaksanakan sistem perundangan Islam. Manakala sistem pengurusan dan perekonomian negara bagi penyelesaian kes monopoli dan menurunkan kos sara hidup rakyat dijelaskan di dalam Dokumen Hijau Pertama di mana prinsip ke 5 pengurusan ekonomi negara (m/s 14) menyatakan: “Kenaikan kos akibat daripada perbuatan Ghulul ini perlu disekat melalui undang-undang takzir menurut Islam supaya tidak berlaku gandaan harga di dalam perbelanjaan kerajaan dan duit rakyat.” – (Dokumen Hijau: m/s 14).