Home Artikel PAS Sabah

Isu elektrik Batu Sapi : Kerajaan PN dengar rintihan penduduk

410
SHARE

Oleh : Mustaman Bin Mustain
16 Ogos 2020

BATU SAPI : PAS Batu Sapi merakamkan penghargaan tinggi kepada kerajaan Perikatan Nasional yang mendengar keluh kesah penduduk Kampung Bonggaya Baru dan Kampung Sundang yang terhimpit dengan masalah elektrik swasta lebih 20 tahun.

Ia susulan kenyataan Menteri Air Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah di parlimen yang menyatakan bahawa khidmat syarikat elektrik swasta di kampung berkenaan bakal ditamatkan bagi membolehkan bekalan elektrik disalurkan secara terus melalui Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Penghargaan berkenaan dinyatakan oleh Ketua Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu ketika dihubungi pagi tadi di kediaman beliau di Batu Sapi.

“PAS Batu Sapi membelakangkan ideologi politik dengan mengajak rakan-rakan dari parti politik berbeza dan NGO termasuk penduduk kampung membentuk jawatankuasa bertindak bagi menangani isu berkenaan,” ujarnya ketika menceritakan detik perkara tersebut diusahakan.

“Kali terakhir, bulan lepas saya mendapat maklum dari Timbalan Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa beliau akan membawa petisyen bantahan kami kepada Datuk Dr Shamsul,” tambahnya yang juga Naib Yang Dipertua PAS Batu Sapi.

“Terkini, Suruhanjaya Tenaga (ST) akan berbincang bersama SESB dan kerajaan Sabah dalam masa terdekat bagi mencari jalan penyelesaian terbaik, ia sebagaimana jawapan Menteri mengenai status permohonan pemasangan Pay-As-You-Use Meter di kampung berkenaan,” katanya.

Beliau juga merakamkan ucapan penghargaan kepada beberapa individu yang bersama dalam usaha ini termasuk Ketua Penyelaras Isu, Masru Mustaqeem, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Shamsul Kelana Samlee, Pengerusi NGO Gambas, Azlani Sarip dan penduduk kampung.