Home Berita PAS Wilayah

Istikharah Dan Restu Suami Iringi Langkah Ustazah Nuridah

332
SHARE

Oleh Dhiya’ Muttmainnah

WANGSA MAJU, 5 Nov: “Setiap kali ustazah dicalonkan, kami suami isteri sama-sama solat istikharah untuk serah kepada Allah dan insyaAllah kami akur dengan ketetapan Allah SWT,” demikian perkongsian Mohd Azemi Azman, suami kepada Ustazah Nuridah Mohd Salleh yang turut hadir di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Umum ke-15 bagi Parlimen Wangsa Maju pagi ini.

Mohd Azemi juga menyatakan kehidupan berumah tangganya bersama Ustazah Nuridah sebagai suatu perkongsian.

“Bagi saya rumah tangga itu perkongsian. Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul. Letak sepenuh harapan kepada Allah, Allah sentiasa bantu kita. Dalam susah senang, kita kena ingat Allah.

“Kita duduk dalam jemaah. Jadi yang memikul sesuatu amanah itu hakikatnya bukan ustazah dan saya semata tetapi seluruh jemaah,” ujarnya.

Beliau juga turut menekankan pentingnya untuk kita memberikan yang terbaik dalam sesuatu kerana Allah SWT menyukai hamba-hambaNya yang mempunyai sifat itqan iaitu bersungguh-sungguh dalam menatijahkan sesuatu yang terbaik.

“Perihal kejayaan, ia adalah sesuatu yang berada di tangan Allah. Allah bukan nilai kejayaan itu tetapi Allah nilai Itqan kita.Justeru, apa pun keputusan, kita kena ingat Allah lebih mengetahui,” terang beliau lagi.